Kerjasama Kerajaan Perpaduan Demi Kepentingan Rakyat Dan Negara – Mohamad

JEMPOL, 8 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama yang dijalin antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan 18 parti lain dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah demi kepentingan rakyat dan negara.

Jelas beliau sambil menepis dakwaan segelintir pihak bahawa tindakan UMNO/BN itu sebagai menggadai maruah.

“Tidak betul mengatakan UMNO/BN menggadai maruah, kami bukan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sedangkan mahu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, apa yang dilakukan BN dan PH pada ketika itu adalah untuk menyelamatkan keadaan supaya tubuhkan kerajaan.

“Alhamdullilah cukup-cukup, 30 BN manakala 82 PH. Cukup untuk tubuh kerajaan dan kemudian, didukung pula oleh Sabah dan Sarawak jadilah 148 kerusi.

“Tidaklah mengatakan kami ini bergabung tetapi bersama menguruskan negara, demi untuk masa hadapan,” katanya.

Mohamad yang berkata demikian ketika berucap di hadapan penduduk Palong 2 di Jeram Padang, tengah hari tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu berkata, dakwaan Melayu dan Islam terancam juga tidak benar kerana ia akan terus dipertahankan seperti mana yang termaktub dalam perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau ditambah pula Kabinet dianggotai sebahagian besar pemimpin beragama Islam dan Melayu.

“Jadi tidak benar cerita mengatakan UMNO menggadai maruah, kemudian Islam terancam. Bagaimana? Sedangkan 29 orang menteri, 19 daripadanya Islam/Melayu yang lain pula daripada Sabah dan Sarawak. Dap pula hanya empat orang sahaja, hendak terancam bagaimana?

“Ada ke orang Melayu terancam? Ada ke penjawat awam yang berstatus kontrak dibuang kerja? Masa Tun Dr Mahathir Mohamad lah yang dibuang ramai.

“Tidak ada apa jangan risau, kerana sebelum apa-apa yang hendak dilakukan kepada sebarang dasar atau rang undang-undang mesti dapat kelulusan Kabinet dan saya boleh jamin jika ada apa-apa menggugat agama dan bangsa tidak akan disokong Kabinet,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.