BN-PH Sepakat Calon MB Kedah – Ahmad Zahid

LANGKAWI, 8 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai kesepakatan berkenaan calon Menteri Besar Kedah sekiranya kedua-dua gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata nama berkenaan hanya akan diumumkan selepas kedua-dua gabungan itu berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu majoriti mudah pada PRN ini.

“Kesepakatan ini kami telah capai tetapi kita tidak umumkan…bila kita capai jumlah itu insya-Allah kita akan umumkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Kedah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut menaruh keyakinan golongan muda akan keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini khususnya untuk memilih calon-calon daripada gabungan BN-PH.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Langkawi perlu dibangunkan semula dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong bagi menjana pendapatan dan ekonomi penduduk di pulau peranginan itu.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian segera adalah berkenaan perkhidmatan feri yang dilihat memberi kesan terhadap jumlah kedatangan pelancong ke sini.

Terdahulu, semasa berucap pada Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Taman Nilam, Ayer Hangat di sini, Ahmad Zahid berkata program peringkat kebangsaan dan antarabangsa perlu diadakan setiap bulan di Langkawi bagi menggalakkan industri pelancongan yang turut akan memberi impak kepada pelbagai industri lain di sini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan penganjuran program secara lebih kerap ia akan memberi limpahan rezeki kepada pemain industri khususnya penginapan, pengangkutan dan makanan.

Turut hadir pada program itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.