Rakyat Mahu Wakil Rakyat Sentiasa Di Kawasan, Bukan Selalu Hilang – Roslee

KAPAR, 7 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid berkata rata-rata daripada pengundi yang ditemui berharap untuk beliau sentiasa cakna dengan permasalahan yang berlaku di kawasan sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos ini.

Katanya ini kerana mereka meluah kekecewaan akibat daripada sikap penyandang DUN yang sukar untuk ditemui.

“Ada juga mesej disampaikan iaitu mahu saya selalu di kawasan, senang dihubungi dan mesra dengan mereka tanpa ada banyak protokol.

“Pastinya ia melibatkan calon lawan iaitu penyandang mesti ada perkara yang tak puas hati sejak lima tahun lalu, mereka nak wakil rakyat yang senang dihubungi, ada di pejabat, sentiasa mendahului rakyat.

“Jadi mereka amat kecewa dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang lepas sebab tak dapat berjumpa tapi bila nak pilihan raya baru nak muncul sehinggakan ini jadi perbualan pengundi di sini,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kapar berkata wakil rakyat terdahulu juga tidak memanfaatkan kelebihan yang ada di Selat Klang ini khususnya sektor pelancongan.

“Selain daripada nelayan, laut mesti dijadikan tempat pelancongan kerana kita ada Pulau Ketam, Sungai Lima, persisir Tanjung Harapan ini mesti dibangunkan untuk dijadikan tempat pelancongan.

“Sayangnya mereka mempunyai wakil rakyat 22 bulan malah sebagai exco pelancongan tetapi tidak dapat membangunkan di tempat sendiri, amat sayang sekali,“ ujar beliau.

Dengan itu Mohd Roslee menerusi kempennya berharap diberikan peluang oleh rakyat di sini bagi mengangkat Selat Klang sebagai industri pelancongan.

“Saya merancang untuk memastikan pelancongan di sini untuk dipandang serius dijadikan tarikan dalam kalangan rakyat bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Selat Klang ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Mohd Roslee dengan Datuk Abdul Rashid Asari, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.