Noraini Percaya Calon Wanita Bakal Bawa Perubahan Ke Kawasan Ditandingi

BACHOK, 7 Ogos – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad percaya bahawa calon-calon Wanita UMNO yang bertanding sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini akan membawa perubahan dari segi santunan dan suara rakyat ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi mandat.

Beliau yang ditemui ketika sesi kunjung-mengunjungi rumah rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama turut merayu kepada para pengundi untuk memberikan mandat kepada calon Barisan Nasional (BN), Zakiah Mohd Noor.

“Saya baru sahaja lepas mengunjungi rumah ke rumah yang diaturkan oleh Wanita Bachok. Bersama-sama saya ialah calon BN, Zakiah Mohd Noor.

“Saya harap semua pengundi terutamanya di kawasan ini akan dapat memberikan sokongan kepada beliau selaku calon daripada BN.

“Insya-Allah sekiranya diberi peluang, saya yakin calon-calon wanita akan membawa satu perubahan bukan sahaja dari segi santunan dan servisnya tetapi akan menjadi suara kepada rakyat di Pantai Irama ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online, semalam.

Jelasnya, beliau telah turun ke semua negeri untuk bertemu dengan calon-calon Wanita yang bertanding pada PRN ini.

“Saya telah pergi ke semua negeri dan akan berulang-alik. Alhamdulilah. Hari ini dan semalam saya berada di Kelantan. Esok saya akan ke Terengganu.

“Manakala lusa ke Kedah, Pulang Pinang dan kita akan ulang semula. Sebenarnya ini fasa ketiga dalam tempoh berkempen saya berpusing.

“Apa yang penting, kita mahu calon-calon BN mencapai kejayaan pada 12 Ogos kelak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mendoakan agar calon-calon Wanita menang dengan bergaya dan menjalankan amanah sebaik mungkin selepas dimandat oleh rakyat.

“Untuk calon-calon Wanita, harapan saya adalah sudah semestinya mendoakan agar setiap seorang daripada calon wanita ini akan menang bergaya.

“Insya-Allah setelah diberikan amanah tersebut, mereka akan menjalankan tugas mereka sebaik mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.