Megat Zulkarnain Bidas Mainan Politik Kotor, Tiada Pertukaran Kerajaan Pusat Jika PN Menang PRN

GOMBAK, 7 Ogos – Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin membidas mainan politik yang tidak sihat dan kotor dalam usaha pihak lawan untuk mendapatkan undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), semalam, bahawa terdapat proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat Pusat berlaku sekiranya PN menang pada PRN ini walaupun terdapat Akta Lompat Parti.

“Ini adalah satu permainan politik kotor apabila mereka merasakan mereka sudah tak mampu untuk melawan beberapa negeri yang mereka harapkan, maka mereka memberikan naratif yang salah.

“Saya yakin Peja (Ahmad Faizal) tahu… berapa ramai yang nak lompat? Kerajaan yang ada hari ini 148 kerusi, kenyataan Premier Sarawak, kenyataan Ketua Menteri Sabah, kenyataan Warisan iaitu Datuk Seri Shapie Apdal… kita ada 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan maka daripada mana dia nak dapat angka ini?

“Nak dapatkan lebih 30 lebih ahli Parlimen dan walaupun ada ia adalah sesuatu yang tidak sihat, kalau ada pun… tetapi jangan letup sana, letup sini. Tak rasa kasihankah kepada negara?”

Tegas Megat Zulkarnain lagi, ketika ini Perdana Menteri dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan berusaha untuk menarik pelaburan.

“PM sedang mendapatkan pelaburan masuk, mereka mahu masuk. Ini adalah satu mainan politik yang tidak sihat dan kotor.

“Saya percaya ini adalah satu strategi lama yang digunakan mereka tapi tunggulah 12 haribulan nanti untuk tahu keputusan yang sebenar,” katanya lagi.

Terdahulu beliau menyertai majlis ramah mesra masyarakat bersama dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di pekarangan pasar moden Sri Gombak, di sini, hari ini.

Esok, adalah hari mengundi awal dan Sabtu ini hari mengundi PRN di Kelantan,Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.