Formula Pembahagian Kerusi BN-PH Bawa Keuntungan Perpaduan Di Selangor – Sharkar

KAPAR, 7 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin percaya dengan pembahagian kerusi strategik di Selangor memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau, ini kerana pembahagian kerusi dilakukan berdasarkan kekuatan parti-parti di bawah dua gabungan tersebut yang mengambil kira sokongan pengundi berdasarkan populasi sesuatu kaum mengikut kawasan.

“Saya jangkakan bahawa BN-PH akan kekal memerintah Selangor, kalau dilihat pada pembahagian kerusi PH bertanding 44 kerusi, BN pula 12.

“BN 12 dan sembilan kerusi Amanah kesemuanya kawasan majoriti Melayu yang sangat besar, kemudian Dap di kawasan majoritinya bukan Melayu dan PKR di kawasan 60 peratus Melayu.

“Jadi kalau lihat kepada sentimen yang ada ini sekurangnya di Selangor PH-BN akan menang 35 daripada 56 kerusi seterusnya akan membentuk kerajaan,” katanya pada UMNO Online.

Bagaimanapun katanya mendepani kempen saat akhir ini, fokus parti adalah melakukan gerak kerja terbaik bagi memastikan pengundi Melayu memberikan undi pada BN-PH.

“Cuma sekarang ini kita hendak menang kalau boleh BN dan Amanah memberikan sumbangan untuk dapatkan dua pertiga majoriti, ini pada pandangan saya secara rambang berdasarkan sambutan daripada rakyat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar melihat bahawa kekuatan jentera parti pada ketika ini berada pada tahap terbaik termasuk melalui kerjasama erat jentera Perpaduan.

“Peringkat awal saya lihat agak perlahan tetapi sekarang ini masing-masing telah pun memahami antara satu sama lain sebagai contoh saya berada di pentas ceramah Perpaduan bersama dengan rakan-rakan daripada PKR, Amanah dan Dap.

“Jadi secara perlahan-lahan kita dapat menawan hati pengundi yang melihat kesefahaman di peringkat tertinggi dan pusat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.