Aspirasi Perpaduan Bukti Komitmen BN-PH Perkasa Rakyat – Jalaluddin

SEREMBAN, 7 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata manifesto atau dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan adalah komitmen yang diterjemahkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat negeri ini.

Jelas beliau, ini kerana ianya merangkumi pembelaan pembangunan kepada semua lapisan masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang yang semestinya memberikan impak terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kita bagi signal mendalam kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak main-main, bukan retorik dan tidak sekadar berjanji kepada rakyat.

“Komitmen kami ini secara menyeluruh merangkumi pembelaan pembangunan kepada semua rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

“10 teras ini merangkumi orang Melayu, Cina, India, orang Asli, golongan FELDA, pembangunan bandar dan luar bandar, ekonomi, pelaburan, pembelaan generasi muda, kaum ibu dan bapa, bujang dan bakal mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban, semalam.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Datuk Seri Aminuddin Harun kepimpinan MCA dan MIC serta parti-parti dalam PH.

Jalaluddin berkata Aspirasi Perpaduan itu juga berupaya mengangkat Negeri Sembilan sebagai negeri ikon yang menjadi rujukan kepada kepimpinan negeri yang lain.

Jelas beliau plan tersebut juga membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan Negeri dalam tempoh lima tahun berikutnya tidak perlu dicampuri oleh Perikatan Nasional (PN).

“Hendak bagi signal kepada mereka bahawa kita bergerak sebagai satu pasukan untuk menentukan kestabilan kerajaan Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu itu berharap calon-calon UMNO/BN untuk mendukung Lima Tekad Aspirasi Perpaduan di kawasan masing-masing sebagai memberi pemahaman kepada rakyat.

“Bawa agenda manifesto dalam empat hari terakhir ini jelaskan kepada semua rakyat kepentingan untuk meneliti setiap perinci teras ini.

“… dan yang paling penting pada kita ialah bagitahu pada mereka termasuk pengundi muda jangan buang undi kerana setiap daripada itu menentukan kestabilan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan bagi membawa pembelaan dan pembangunan demi rakyat dan negeri,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.