Sokong Kerajaan Perpaduan Untuk Teruskan Pembangunan, Selarikan Dengan Kerajaan Pusat – Johari

HULU LANGAT, 6 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani menggesa para pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk memilih calon-calon daripada Kerajaan Perpaduan agar dapat menentukan kerajaan negeri kelak selari dengan Kerajaan Pusat.

Ini kerana katanya, apabila kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat selari maka banyak agenda pembangunan dapat dilaksana secara terus dan lebih mudah.

“Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRN kali ini atas nama Kerajaan Perpaduan maka kita nakkan kemenangan dalam negeri Selangor ini agar dapat selari dengan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian ketika berucap dalam program sembang santai sempena kempen PRN bagi DUN Dusun Tua dengan calonnya ialah Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz, semalam.

Tegas Johari, kemenangan perlu diberikan kepada Johan bagi menyumbang kerusi kepada pembentukan Kerajaan Negeri Selangor yang sebelum ini ditadbir oleh PH.

“Pakatan Harapan ini adalah sebuah parti yang berkerajaan di sini selepas kita membina Selangor selama 60 tahun kemudian 2008 kita (BN) kalah, Pakatan Harapan ambil alih 2008, 2013, 2018 iaitu dalam masa 15 tahun meneruskan perjuangan membangunkan negeri Selangor.”

Dalam hal ini, Johari menimbulkan persoalan adakah PH tidak menghiraukan agama Islam sebagaimana didakwa segelintir pihak.

“Beritahu saya berapa banyak masjid yang PH roboh … tak ada. Siapa kata PH tak hiraukan agama Islam, siapa cakap kita mentadbir Selangor 60 tahun dan selepas itu PH ambil alih 15 tahun … adakah dia buat benda tu?”

Jelasnya, semua pihak khususnya BN perlu menerima hakikat bahawa keadaan hari ini tidak sama seperti dahulu lagi.

“Dalam politik kita kena terima hakikat apabila kita tak sekuat lagi seperti dulu, sudah tentu kita kena bergabung dengan orang jadi nak pilih rakan gabungan ini kita juga kena fikirkan. Kita memilih dan memikirkan soal rakyat sebab itu kita buat persahabatan dengan rakan kita iaitu PH.

“Hari ni kita kena terima hakikat bila BN/UMNO dah tak berapa kuat tapi kita takut rakyat ini tak ada siapa nak jaga maka kita ‘partner’ dengan PH. PRU kita bertanding dan kita menang lima kerusi saja, yang lain tu PH tapi
dalam PRN ini PH bermurah hati bagi lagi kita tujuh kerusi menjadikan 12.

“Sedangkan tujuh kawasan itu termasuk di sini bukan kawasan kita tetapi atas nama persefahaman, masing-masing memahami satu sama lain maka kita dapat 12 kerusi daripada 56 dan kita perlu menang kesemuanya demi Kerajaan Perpaduan.”

Katanya, sekiranya rakyat memberi mandat kepada calon BN iaitu Johan sebagai wakil rakyat maka tentunya pelbagai limpahan akan dapat dinikmati kelak.

“Kita akan ada wakil rakyat yang ada pengalaman jadi wakil rakyat sebelum ini, jadi pilihlah Datuk Johan yang akan pastikan apa-apa keperluan dalam kampung ini dilaksanakan sebab beliau cukup tahu tanggungjawab kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.