Kita Masuk PRN Untuk Menang, Gandakan Usaha Hingga Hari Mengundi – Noraini

PASIR PUTEH, 6 Ogos – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata mana-mana parti termasuklah Barisan Nasional (BN) yang menyertai pilihan raya adalah untuk mencapai kemenangan dalam usaha membentuk kerajaan negeri sekaligus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Justeru kata beliau jentera Wanita khususnya perlu melipatgandakan lagi usaha bagi memastikan parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos nanti.

“Matlamat parti memasuki pilihan raya negeri yang sedang berlangsung di enam negeri termasuklah di Kelantan ini adalah untuk mencapai kemenangan. Kita masuk dan bertanding… di DUN Semerak ini calon daripada Wanita, Marshella Ali… jadi kita kena sama-sama usaha untuk membantu kemenangan beliau dan BN pada 12 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama calon BN DUN Semerak, Marshella Ali serta jentera parti, di Kompleks UMNO Uthmaniyah, di sini. Turut serta Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zawawi Othman.

Noraini seterusnya menambah peranan jentera Wanita khususnya perlu terarah untuk meyakinkan pengundi membuat pilihan yang tepat pada hari pembuangan undi nanti apatah lagi Kelantan ditadbir oleh Pas sejak dahulu.

“Jadinya apa peranan kita semua…lipatgandakan usaha turun ke akar umbi pastikan pengundi dapat membantu dan menyokong calon kita di DUN Semerak ini dan kawasan-kawasan lain yang ditandingi.

“Terus dekati mereka dan pada hari mengundi nanti kita bawa mereka keluar. Sepanjang kempen kita boleh macam-macam program seperti kesukanan dan sebagainya. Namun kalau yang datang itu bukan pengundi ianya tidak akan sampai matlamat.

“Bagitu juga dengan seluruh jentera yang lain termasuklah adik-adik Puteri UMNO kita… dekati orang muda dan sebaya… sama-sama kita lipatgandakan usaha bagi merealisasikan kemenangan BN pada 12 Ogos ini, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit