Calon Tempatan Beri Kelebihan Kepada Faizal Di Linggi

PORT DICKSON, 6 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang merupakan anak tempatan cukup sinonim dengan kawasan ini.

Jelas Mohd Faizal yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, beliau memanfaatkan perkara tersebut dengan melaksanakan strategi terbaik dalam mendekati pengundi secara pertemuan bersemuka.

“Sejak penamaan calon kita terus berkempen secara sihat, antara pendekatan dilakukan adalah buat ceramah, gerak rumah ke rumah, mengadakan aktiviti seperti gotong-royong dianjurkan penduduk setempat, ziarah warga emas dan yang sakit, berjumpa dengan peniaga.

“Setakat hari ini sambutan yang saya terima amat baik, alhamdulillah sebab selaku anak tempatan memang saya telah pun lama berkhidmat kepada penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang berkata pelbagai agenda pembangunan telah dirangka bagi kepentingan rakyat dan Linggi.

Menurut beliau, antara isu utama yang mendapat perhatian adalah permasalahan banjir sering berlaku di kawasan tersebut.

“Di Linggi ini masalah utama adalah banjir, pada 2021 paling kerap. Saya melihat apa yang diusahakan oleh Datuk Abdul Rahman Mohd Redza dan kerajaan telah memberikan peruntukan untuk melakukan Rancangan Tembatan Banjir (RTB).

“…ia telah pun berjalan mengikut fasa dan saya difahamkan akan masuk fasa kelima tidak lama lagi,” ujar beliau.

Selain itu, beliau juga turut sama memberi penekanan membabitkan ekonomi rakyat, pendidikan, industri pelancongan.

Katanya sekiranya diberikan mandat beliau akan membantu para nelayan di sini dalam menjana pendapatan, menubuhkan sekolah asrama penuh, tingkatkan ekonomi pelancongan, naik taraf muzium tentera darat.

Untuk rekod, DUN Linggi ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Mohd Faizal dengan Zamri Md Said yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.