BN-PH Negeri Sembilan Garis Lima Tekad Aspirasi Perpaduan

SEREMBAN, 6 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini menawarkan dokumen aku janji dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut diberi mandat oleh rakyat negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata aspirasi tersebut mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum tanpa mengambil kira agama, kaum, umur, jantina dan status kehidupan.

“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan berteraskan kepada Lima Tekad bagi mencapai negeri maju, ekonomi mampan dan rakyat sejahtera.

“Lima Tekad dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah untuk:

I. Membangun Negeri Sembilan moden 2023-2033
II. Mendaya upaya ekonomi rakyat dalam meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
III. Pembangunan mesra rakyat : Melestarikan pembangunan seimbang luar bandar dan bandar
IV. Memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan permasalahan rakyat.
V. Pentadbiran berintegriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban. Turut hadir adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; kepimpinan MCA dan MIC serta kepimpinan PH.

Aminuddin dalam pada itu memaklumkan ianya menjadi satu komitmen pemerintahan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan untuk menjana peluang dan memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Jelas beliau lagi BN-PH juga sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama dalam perancangan dengan menawarkan 70 Inisiatif Untuk Rakyat di bawah 10 Teras Utama iaitu:

TERAS 1 : Ekonomi, Pelaburan dan Infrastruktur
TERAS 2 : Pendidikan dan Modal Insan
TERAS 3 : Kesejahteraan Rakyat
TERAS 4 : Belia, Wanita, Keluarga, Sukan dan Keusahawanan
TERAS 5 : Tanah dan Perumahan
TERAS 6 : Pertanian
TERAS 7 : Pelancongan dan Alam Sekitar
TERAS 8 : Agama, Adat Budaya dan Masyarakat Orang Asli
TERAS 9 : Perkhidmatan Awam
TERAS 10 : FELDA

“Selain 70 inisiatif di dalam 10 Teras Utama ini, BN-PH Negeri Sembilan juga menawarkan Skim Sejahtera Rakyat yang akan diuruskan dan disampaikan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Skim Sejahtera rakyat ini adalah mencakupi kehidupan rakyat sejak daripada awal kelahiran sehinggalah menjejak ke usia warga emas,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.