Berkempenlah Penuh Etika, Tidak Perlu Burukkan Mana-Mana Pihak – Hashim

PASIR PUTEH, 6 Ogos – Kempen yang sebaik-baiknya sepanjang tempoh pilihan raya ialah secara bersederhana dengan tidak memburukkan mana-mana pihak.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Datuk Hashim Ismail berkata, apa yang paling penting ialah akhlak agama meskipun berbeza pandangan politik.

“Pada saya kita kena ada ‘code and ethic’. ‘Code and ethic’ yang paling penting ialah akhlak agama. Biarpun kita berbeza pandangan politik, kita bertanding untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Tetapi sayang, seribu kali sayang setiap kali tiba musim pilihan raya akan wujud isu-isu yang melampau malah mengikut sesetengah pendapat ahli-ahli ilmu dan ulama, melanggari akidah agama.

“Orang itu kafir kerana tidak menyokong kumpulan mereka. Kumpulan mereka sahaja yang betul dari segi akidah agamanya. Tetapi, segala tuduhan ini lenyap apabila habis sahaja pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, budaya dan kaedah berkempen ini seharusnya dihapuskan kerana ia bertentangan dengan nilai moral kemanusiaan.

“Pada saya, ini budaya dan kaedah kempen ini seharusnya dihapuskan kerana ianya bertentangan bukan sahaja dengan nilai moral, kemanusiaan bahkan akidah agama.

“Sebagai contoh, kita ada mendengar tak undi parti ini masuk api neraka. Siapa kita? Kalau mengikut para ulama, apabila kita menghukum orang lain kafir maka automatik Allah akan masukkan kita dalam orang-orang kafir.

“Sebaik-baik kempen ialah sederhana, tidak ekstrem. Kita menawarkan diri dan kita berkempen seharusnya jangan mencaci maki, menjadikan pihak lawan kita buruk semuanya. Kita harus menyatakan aspirasi, manifesto dan iltizam kita sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya lagi.

Beliau bertekad untuk menjadikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Pada saya, politik bukan permainan bahkan ianya perjuangan. Sebab itulah manifesto peribadi saya ialah akan menjadikan diri saya seorang pemimpin yang lebih inklusif, rendah diri dan menjadi hamba pada rakyat.

“Menyelesaikan segala masalah mereka dan bukan menjadi seorang pemimpin yang eksklusif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar rakyat memberikan peluang kepadanya untuk memberi khidmat di DUN Selising.

“Saya Datuk Cikgu Hashim, calon nombor satu menyeru dengan segala rendah diri kepada seluruh pengundi DUN Selising, berilah kepercayaan kepada saya sekali untuk berkhidmat kepada rakyat dan jadi pemimpin yang ‘mudoh baso’.

“Bila masa rakyat perlu, insya-Allah saya akan bersama-sama rakyat. Antara yang boleh kita buat, Selising sejak merdeka tiada bank. Insya-Allah sekiranya saya diberi mandat ialah usahakan bank kecil.

“Sekiranya saya diberi kepercayaan, Saya akan berhubung pihak berkuasa agar segalanya dipermudahkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.