Tengku Zaihan Ingin Jayakan Gerbang Pelancongan Antarabangsa Di Kuala Besut

KUALA BESUT, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman bertekad untuk menjayakan gerbang pelancongan antarabangsa di kawasan berkenaan.

Beliau yang merupakan penyandang bagi DUN tersebut seterusnya menambah dengan terlaksananya gerbang berkenaan sudah pasti ianya member manfaat yang amat besar kepada penduduk setempat dalam pelbagai aspek khususnya sektor ekonomi.

“Kita di Kuala Besut dikenali sebagai gerbang pelancongan antarabangsa dan gerbang pelancongan ini dapat direalisasikan sekiranya benteng pemecah ombak dapat disiapkan. Malangnya ketika bertukar kerajaan pada satu ketika dahulu, menyebabkan projek ini tergendala dan ditamatkan… menyukarkan aliran trafik bot-bot nelayan dan juga bot-bot pelancong di muara besut.

“Jadi saya dengar baru-baru ini Alhamdulillah projek ini telah disambung semula pada bulan Mei lalu dan kita harapkan supaya projek ini dapat disiapkan secepat mungkin supaya agenda untuk merealisasikan gerbang pelancongan antarabangsa dapat dilaksanakan.

“Apabila siapnya benteng pemecah ombak berkenaan kita boleh memfokuskan kepada dua segmen utama iaitu segmen perikanan di zon Kampung Seberang Kastam yang telah ada Kompleks LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan di sebelah zon Kuala Besut ini kita boleh fokuskan kepada memperkasakan industri pelancongan,” katanya.

Tengku Zaihan seterusnya menambah pihaknya turut mempunyai perancangan selaras dengan perancangan bandar di Besut.

“Kita juga ada perancangan selaras dengan rancangan bandar untuk daerah besut yang diwartakan sehingga tahun 2035 inysa-Allah dengan adanya pengkelasan zon dan perumahannya insya-Allah akan memperkasakan lagi industri pelancongan.

“Antaranya kita mahu buat peralihan khususnya jeti yang dah sesak hari ini dan kita mahu alih kepada jeti yang lebih besar dan lebih selesa supaya tidak menyukarkan susun atur pergerakan pelancong dengan bas, van, kereta dan sebagainya lagi yang masuk ke Kuala Besut,” tambahnya.

Beliau seterusnya merayu kepada pengundi agar membuat pilihan yang tepat pada hari pembuangan undi nanti dengan memilih BN.

“Kepada pengundi, undilah BN kerana dengan selarinya kerajaan negeri Terengganu serta kerajaan pusat yang diterajui Kerajaan Perpaduan dan BN sebagai salah satu komponen sudah tentu akan memberi banyak kelebihan kelak.

“Jadi berilah peluang kepada kami untuk mentadbir di peringkat negeri termasuklah di Kuala Besut supaya apa jua agenda pembangunan, apa jua agenda yang boleh kita majukan lagi dari sudut infrastruktur dan apa jua perancangan dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit