Strategi Letak Muka Baharu, Kompeten Mampu Tawan Hati Pengundi Muda – Asna

SEREMBAN, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin berkata keputusan parti memberi peluang kepada calon baharu dan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mampu menawan hati para pengundi.

Jelas beliau, ini membuktikan bahawa parti terbuka dan mempunyai barisan kepimpinan muda yang kompeten untuk berhadapan dengan pengundi pertama kali.

“Seperti yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi katakan bahawa beliau akan mempertaruhkan muka baru untuk mewakili parti untuk UMNO/BN memberi perkhidmatan kepara rakyat supaya parti ini nampak segar.

“…dan Negeri Sembilan ini sendiri lebih 60 peratus muka baru dan beberapa calon datang daripada Pergerakan Pemuda penggal lepas.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO membentuk pemimpin baru kerana 40 peratus pengundi ini adalah kalangan orang muda,” katanya.

Mohd Asna yang juga Naib Ketua UMNO Seremban dalam pada itu menambah, orang muda masa kini mahukan pemimpin yang dipilih berupaya membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi terutama membabitkan kebajikan.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa pendekatan yang dilakukan untuk bersama golongan ini adalah dengan mengadakan program lebih santai.

“Mereka ini nak lihat pemimpin daripada kelompok itu juga, senang untuk bawa agenda bersama.

“Meskipun mereka ini kurang sikit ambil tahu tentang politik dan lebih suka bersukan, riadah jadi untuk dekati sampaikan mesej parti tak boleh melalui surat khabar, online tetapi kena santuni melalui program sukan, belia.

“Sebab kalau harap mereka faham politik negara melalui media memang tak akan sampai, apabila tanya saya lihat mereka ini terpengaruh video yang keluar di Tiktok sahaja,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Lenggeng ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Asna dengan Mohd Fadli Che mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Bebas, Zul Azki Mat Sulop. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.