Johan Yakin Rakyat Mahukan Perpaduan, Akan Jumpa Semaksimum Pengundi DUN Dusun Tua

HULU LANGAT, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd Aziz yakin bahawa rakyat tempatan mahukan perpaduan yang terus dipererat dan dimantapkan dengan memberi kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, biarpun berdasarkan kempen turun padang yang dilaksana beliau melihat senario rakyat telah membuat ketetapan namun begitu beliau tidak akan berasa selesa sebaliknya akan berjumpa semaksimum yang boleh sehingga ke tarikh pengundian.

“Alhamdulillah berbaki lagi enam hari kerana hari ketujuh dah mengundi, jadi alhamdulillah saya tengok semua gabungan Kerajaan perpaduan tak kira Dap, Amanah, PKR hari ini bergerak bersama … contoh baju merah dan baju biru nampak semua ada.

“Bagitu juga baru-baru ini kita ada buat satu ceramah yang mana hampir mencecah 5,000 orang dengan kehadiran masyarakat Tionghua yang keluar beramai-ramai duduk dengar ucapan pemimpin mereka… mereka keluar jarang berlaku dan nak duduk tiga empat jam sehingga habis iaitu hampir jam 12 malam baru kita bersurai.

“Jadi tu saya tengok satu signal senario yang rakyat mahukan perpaduan ini dierat dan dimantapkan … saya yakin rakyat di Selangor khususnya DUN Sungai Tua ini dah pun membuat ketetapan, tapi apapun saya tidak akan berasa selesa sehingga ke akhir saya akan berjumpa semaksimum yang boleh, itu janji saya,” katanya.

Terdahulu beliau bersama jentera PDM Panson dalam program sembang santai yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Jelas Johan, sememangnya DUN Dusun Tua tidak asing malah memahami permasalahan masyarakat setempat.

“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian di sini, ada dua DUN, satu DusunTua dan satu Semenyih, ada 60 cawangan di Dusun Tua dan 60 lebih cawangan di Semenyih. Sewaktu banjir saya ada dekat sini tak kira waktu siang dan malam, nakkan tilam kita hantarkan tilam, nakkan ‘repair’ surau kita ‘repair’… masa tu tak jadi calon, tak fikir pilihan raya pun … masa 2021 tak ada cerita pilihan raya.

“Jadi saya rasa ramai yang melihat apa yang saya lakukan, jadi saya pun tahu apa peranan wakil rakyat dan saya akan wakilkan rakyat Dusun Tua ini untuk memperjuangkan apa saja hak rakyat ataupun penambahbaikan untuk rakyat macam jalan raya, kesesakan, isu sampah di kampung dan banyaklah lagi.”

Katanya, beliau tidak dapat menjelaskan secara terperinci namun rakyat boleh menilai kerjanya dan beberapa perkara yang telah terbukti.

“Banyak jadi bukti, sekolah saya dah dapatkan… sekolah Cina, sekolah Tamil sudah siap, jadi kalau diberi mandat saya akan teruskan perkhidmatan ini….

“Yang lagi seronoknya dulu masa saya jadi ADUN di Semenyih saya pembangkang, kali ini kalau menang insya-Allah kita bersama kerajaan maka lagi banyak limpahan, insya-Allah.”

Dalam hal ini beliau menyeru pengundi khususnya anak muda untuk memilih beliau pada hari pengundian kelak.

“Saya menyeru anak muda yang mungkin di luar nak balik mengundi… saya merayu supaya anak-anak muda beri peluang pada saya, anak-anak muda boleh go through to my facebook, my twitter, my Instagram, my tiktok dan tengok apa yang saya dah lakukan untuk N23 sebelum jadi jadi calon

“Jadi saya merayu kepada anak muda beri saya peluang untuk mengubah ke arah kebaikan di N23 ini insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.