Kerjasama Jentera Perpaduan Pertahan Tiga DUN Tampin – Isam

TAMPIN, 4 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meluahkan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang melaksana gerak kerja bersama dalam mempertahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Gemencheh dan Repah.

Jelas beliau, meskipun di peringkat awal pelbagai persepsi dibangkitkan terutama membabitkan isu kerjasama tersebut namun atas dasar semangat perpaduan ianya dilaksanakan sebaik mungkin.

“Pada peringkat awal agak merisaukan sebab masih baharu terutama dengan Dap, tetapi setelah mengadakan majlis-majlis penerangan penerimaan sangat baik daripada ahli UMNO dan juga PH.

“Kita lihat hari ini semuanya bekerjasama untuk menjayakan aktiviti mahupun kempen BN bersama PH.

“DUN Gemencheh, Gemas dan Repah ini tiada masalah malah semua DUN ini mendapat kerjasama yang baik di antara parti-parti yang mengdukung Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mohd Isam berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Dan Perpaduan DUN Gemencheh yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu mengulas lanjut berkenaan pengundi muda, beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin percaya dengan sokongan diberikan golongan tersebut.

Katanya ini kerana, strategi parti yang turut mengetengahkan calon muka baharu daripada Pergerakan Pemuda UMNO dilihat berupaya mengangkat peranan orang muda kepada masyarakat.

“Saya tidak khuatir kerana di Gemencheh calonnya adalah orang muda, iaitu Suhaimizan Bizar malah dia sangat komited dengan kerja yang dibuat sejak dahulu.

“Dalam mendekati golongan ini kami aturkan beberapa program khususnya membabitkan golongan ini untuk lebih dekat calon terutama mereka yang pertama kali mengundi.

“Dengan segala aktiviti telah dibuat selama ini saya yakin anak muda dapat menerima sebaik mungkin di Gemencheh dan kawasan lain, ujar beliau.

PRN ini menyaksikan BN Tampin mempertaruhkan penyandang di Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said dan Gemencheh di Suhaimizan, masing-masing berdepan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.