Kerajaan Perpaduan Dapat Diwujudkan Atas Keserasian – Ahmad Zahid

RAWANG, 4 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan dapat diwujudkan atas keserasian gabungan parti-parti di dalamnya.

Katanya, kerajaan inilah yang akan menjadikan Malaysia lebih kuat sebagai sebuah negara dan perlu terus disokong.

“Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan agama Islam tanpa meggugat agama lain pun, kedudukan Raja-raja Melayu… dalam Perlembagaan UMNO pun ada sebab institusi raja-raja adalah institusi yang menjadi tonggak kepada penyatuan rakyat.

“Kalau ada pemimpin negeri tak hormat Sultan maka UMNO akan pertahankan Tuanku Sultan sebagaimana di Selangor.

“Saya anak Perak, Tuanku Sultan Perak telah digunakan kononnya Tuanku Sultan Perak telah menyokong Pas, sedangkan Tuanku Sultan Perak tidak pernah campur soal politik,” tegasnya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada program ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Kuang di Bandar Tasik Puteri, di sini malam tadi.

Jelas Ahmad Zahid lagi, hak istimewa orang Melayu juga tidak pernah dipertikai dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Sebab itu adalah perkara yang telah dipersetujui dan ia tidak dipertikai dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan termasuk Dap. Ini cara keharmonian yang diaplikasi oleh Kerajaan Perpaduan. Begitu juga kedaulatan bahasa Melayu dipelihara.”

Berkaitan calon BN bagi DUN Kuang, Ahmad Zahid menggesa jentera tempatan untuk bekerja keras bagi memenangkan Datuk Hasnal Rezua Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang.

“Inilah masanya, Kuang mesti dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan sebab kerajaan di Selangor ini adalah Kerajaan Perpaduan.

“Jentera perlu bekerja keras untuk menangkan calon kita. Kalau tak kita yang laksana begitu siapa lagi yang nak menangkan calon BN. Pastikan calon ini menang dalam majoriti yang besar.

“Menangkan beliau untuk tunaikan janji-janjinya bagi membawa pembangunan kepada rakyat di sini. Kalau janji mesti ditepati, kata mesti dikota. Kita bekerja keras untuk menang,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah calon BN DUN Kuang, Hasnal Rezua Merican; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan; Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasudin Yusop dan barisan kepimpinan UMNO tempatan.

Hasnal Rezua Merican dicalon untuk mewakili BN bagi merebut kerusi DUN Kuang berhadapan dengan penyandang kerusi itu, Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Abdullah (PN-Bersatu).

PRN di Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.