Janji Kita Realistik, Bukan Kosmetik Atau Sekadar Gula-Gula Pilihan Raya – Datuk Mat

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata janji-janji yang ditawarkan menerusi manifesto BN negeri pada bukanlah sekadar gula-gula pilihan raya namun ianya menggambarkan keseriusan mereka untuk menerajui negeri berkenaan sekaligus dapat membantu rakyat pelbagai peringkat.

Menurut beliau berbanding Pas yang memerintah Terengganu, segala janji lalu dianggap hanya sekadar untuk memikat undi malah rata-rata masyarakat setempat yang ditemui melahirkan kekecewaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri hari ini.

“Manifesto BN pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Terengganu ini bukan hanya sekadar janji. Ia satu janji kepada rakyat malah setiap kali pilihan raya manifesto yang dikeluarkan BN boleh dikatakan tertunai dan bukan hanya sekadar janji kosong atau gula-gula semasa pilihan raya sahaja.

“Banyak perkara yang kita tawarkan sebagai contoh untuk pelajar IPTA/IPTS (institusi pengajian tinggi awam/swasta) dari golongan yang tidak berkemampuan… soal yuran untuk mula-mula masuk kita tawarkan RM1500…. dan bukan itu sahaja kita juga janjikan laptop percuma dan kita tahu ini kehendak rakyat.

“Begitu juga untuk orang muda… kita sediakan pinjaman untuk membeli motosikal yang berharga RM4,500 dan mereka hanya perlu bayar balik RM4,000 dan RM500 itu dianggap subsidi oleh kerajaan.

“Ini tidak termasuk soal pembangunan contohnya akan tingkatkan laluan jalan raya kepada empat lorong bagi memudahkan pengguna jalan dan juga bantuan warga emas serta soal perumahan yang kita tonjolkan. Paling penting LPT3 (Lebuhraya Pantai Timur 3) yang mana jika diberikan mandat kita akan membina LPT3 untuk memudahkan lagi perjalanan pengguna jalan raya di negeri Terengganu termasuklah untuk pergi Kelantan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau  lagi yang juga dikenali Datuk Mat, tawaran yang diutarakan BN Terengganu merangkumi pelbagai aspek serta bidang sektor lain dan apa yang diutarakan itu hanyalah sebahagian daripada apa yang dijanjikan.

“Seterusnya bantuan PIBG (Persatuan Ibubapa dan Guru) sebagai contoh… untuk sekolah rendah RM3,000 manakala sekolah menengah RM5,000 dan ini adalah tawaran kita untuk membantu PIBG seluruh Terengganu.

“Apa yang penting manifesto ini semuanya berkisar kepada kehendak rakyat dan hari ini kita bukan hanya momokkan atau gula-gulakan kepada mereka sebaliknya ini yang akan kita buat sekiranya diberikan kepercayaan dan mandat pada 12 Ogos nanti,” ujarnya.

Sabri seterusnya berkongsi keluh-kesah masyarakat DUN Ladang ketika beliau berkempen dan mengadakan ‘walkabout’ bersama jentera parti di beberapa kawasan sekitar DUN tersebut.

“Semasa saya pergi ke kawasan sekitar ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati masing-masing terhadap kerajaan negeri yang ditunjangi oleh Pas. Banyak bantuan yang mereka dapat sebelum ini semasa kerajaan BN memerintah tetapi apabila kerajaan Pas mengambil alih mereka tidak dapat bantuan.

“Begitu juga dengan orang muda yang turut menyatakan keluh kesah mereka terhadap soal peluang pekerjaan. Dari segi ekonominya tidak ada pelaburan yang datang… peluang pekerjaan tidak wujud dan tugas kita akan sampaikan kepada rakyat apa yang kita nak buat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.