Dua Dekad Dalam Politik, Muhamad Zamri Pertaruh Pengalaman Di DUN Serting


JEMPOL, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Muhamad Zamri Omar memanfaatkan pengalaman politik hampir dua dekad UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk mendekati rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol berkata selama tempoh itu beliau telah melaksanakan pelbagai gerak kerja politik termasuk melakukan hal-hal kebajikan kepada rakyat.

“Saya sebelum ini adalah Setiausaha UMNO bahagian selama 13 tahun dan telah berkhidmat bersama dua ketua bahagian.

“Peringkat awal sayalah yang bertindak menguruskan segala urus tadbir berkaitan pertandingan malah pernah juga menjadi wakil calon kepada Ahli Parlimen.

“Jadi gerak kerja yang ada itu saya gunakan untuk membantu menggerakkan diri sendiri dalam menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.

Muhamad Zamri dalam pada itu berkata sehingga ke hari ini, beliau mendapat respon baik daripada rakyat yang rata-ratanya menerima kehadirannya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan sepanjang mengharungi minggu kempen ini, setiap pagi akan bersama rakyat menunaikan solat Subuh berjemaah, sebelum makan pagi di kedai berdekatan.

“Saya mendapat respon yang baik daripada pengundi dan mereka mengatakan bahawa inilah calon yang mereka inginkan iaitu calon baharu, mesra kerana daripada gerak kerja yang diakukan mereka melihat saya ini menyantuni seluruh pengundi.

“Sejak penamaan calon alhamdulillah gerak kerja kempen mengikut jadual yang telah dilaksanakan. Saya telah menanda gerak kerja seperti di Serting Hilir sembahyang subuh di sini dengan para jemaah yang ada.

“Selepas itu minum dengan penduduk di sekitar kedai makan seterusnya walkabot bertemu dengan semua pengundi yang ada,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Serting ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Muhamad Zamri dengan Mohd Fairuz Mohd Isa yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.