Tok Mat Dijangkiti Influenza, Rehat Tiga Hari Daripada Berkempen

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangkiti virus influenza dan diarahkan oleh doktornya untuk berehat dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Menerusi satu hantaran video di laman Facebooknya, Mohamad, yang juga calon dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, turut memohon maaf kepada pengundi dan jentera parti Barisan Nasional (bn) kerana tidak dapat menyertai kempen selama tempoh itu.

“Saya minta maaf banyak-banyak kerana saya down dengan influenza… saya batuk teruk dan demam. Doktor telah pesan kepada saya berehat dan jangan keluar, takut berjangkit,” kata Menteri Pertahanan itu yang lebih mesra dipanggil Tok Mat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menyampaikan pesanan kepada jentera untuk meneruskan gerak kerja di kawasan yang telah dijadualkan.

“Kepada jentera, teruskan gerak kerja di kawasan-kawasan yang saya berjanji untuk pergi dalam tiga hari ini. Saya tidak boleh nak keluar, saya harap saya boleh jumpa seberapa ramai pengundi setelah sembuh nanti, insya-Allah,” katanya.

Kerusi DUN Rantau pada PRN, 12 Ogos ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohamad dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau, Rozmal Malakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.