Rancakkan Kembali Projek Petronas Antara Komitmen Calon BN Di DUN Chukai

KEMAMAN, 3 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Datuk Seri Muhammed Rahim Husain akan memberi penekanan soal ekonomi khususnya soal-soal melibatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat selain isu perumahan di kawasan berkenaan.

Untuk itu, beliau mempunyai iltizam akan berusaha sebaiknya jika mendapat mandate pada 12 Ogos nanti  untuk menghidupkan kembali projek-projek yang melibatkan Petronas agar ianya dapat member limpahan sebaiknya kepada masyarakat setempat.”

“Chukai yang terkenal dengan ‘oil and gas’… kalau boleh kita akan galakkan balik projek-projek Petronas supaya lebih ramai anak-anak muda dapat peluang pekerjaan. Dekat Kerteh ada ‘oil and gas’ dan kita kena rancakkan kembali. Apabila kita rancakkan balik ianya menjadi satu tarikan kepada anak-anak muda.

“Apabila Petronas mengadakan projek-projek yang baharu di Kerteh… hari ini kebanyakan projek dilonggokkan di Pengerang. Kalau boleh hidupkan balik sebab banyak ‘oil and gas’ di Terengganu. Apabila wujudnya projek-projek besar Petronas maknanya anak-anak muda akan dapat peluang pekerjaan. Sekarang ini sunyi sedikit. Dengan cara ini Chukai akan mendapat kembali limpahan ekonomi sewajarnya,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama jentera BN yang lain mengadakan kempen di Pasar Malam Kg Paya Berenjut di sini.

Beliau seterusnya menyatakan komitmen untuk memberi tumpuan kepada golongan nelayan di kawasan berkenaan selain perhatian kepda golongan muda terutama dari sudut kesukanan.

“Untuk golongan muda pula rata-rata yang saya temui mereka mahukan kompleks sukan untuk mereka melaksanakan riadah seperti permainan futsal dan pelbagai sukan lain. Litar lumba motor dan macam-macam lagi. Insya-Allah ini kita akan beri tumpuan.

“Begitu juga agenda untuk masyarakat nelayan kita akan beri tumpuan yang sebaiknya seperti bantuan musim tengkujuh yang akan kita bawa kepada pihak kerajaan tentang bantuan seperti pukat dan lain-lain. Kita akan lihat perkara ini sepertimana bantuan-bantuan untuk mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau melahirkan rasa syukur kerana ‘mood’ masyarakat setempat dilihat mula beralih arah selepas empat hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

“Saya tengok ‘mood’ pengundi di DUN Chukai hari ini berbeza dan insya-Allah kita berkeyakinan mereka sedia beralih arah. Pelbagai lapisan masyarakat Alhamdulillah sedia melakukan perubahan pada kali ini.

“Masing-masing menaruh harapan besar apatah lagi kerajaan pusat hari ini diterajui oleh Kerajaan Perpaduan yang akan membolehkan pembangunan sewajarnya dilaksanakan sebaik mungkin,” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit