Rakyat Berharap Kerajaan Negeri Kedah Senada, Seirama Dengan Kerajaan Persekutuan

 

BUKIT KAYU HITAM, 3 Ogos – Tinjauan UMNO Online mendapati kebanyakan rakyat Kedah kini inginkan perubahan dan mahu kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan persekutuan.

Mereka berpandangan, ini bagi manfaat rakyat terutama berkaitan pembangunan infrastruktur, kemakmuran ekonomi, kebajikan pesawah dan sebagainya terus mendapat perhatian yang sewajarnya.

Bagi seorang pesara kerajaan, Jazli Fadhil, 60 tahun, berkata negeri Kedah merupakan sebuah negeri yang lama ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semenjak merdeka.

“Kita hendak kesinambungan pembangunan dapat diteruskan daripada kerajaan yang sama dengan kerajaan persekutuan, ada persefahaman dan kelebihan ini akan memudahkan pengurusan. Kita mempunyai pemimpin yang membela rakyat dan mempunyai hala tuju yang senada dan seirama dengan kerajaan pusat. Ini penting untuk melonjakkan lagi kemajuan negeri Kedah.

“Kalau terus menerus mengekalkan keadaan sebegini maka tidak ada keuntungan bagi rakyat. Paling penting adalah rakyat, pemimpin datang dan pergi tapi perjuangan membela nasib rakyat ini lebih terbela kerana lebih 60 tahun ditadbir urus oleh sebuah parti yang meletakkan kepentingan rakyat di depan.

“Dalam keadaan hari ini dan politik semasa sudah pasti ada perkara-perkara yang berkurangan dan terlebih dan ianya harus diperbetulkan. Sudah sampai masanya kembali kepada BN dan mewarisi pentadbiran suara rakyat di negeri Kedah,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Sementara itu bagi Sulaila Osman, 56, guru swasta, menjelaskan kerajaan negeri perlu sama dengan pusat agar mudah mendapat segala bantuan.

“Apabila bersama… kerajaan Persekutuan senang nak salurkan bantuan-bantuan ke negeri Kedah. Kita tak mahu negeri ini ketinggalan. Pembangunan yang ada sekarang ini tidak dapat disalurkan disebabkan kerajaan negeri dan pusat tidak sama.

“Semasa UMNO/BN memerintah Kedah banyak membangun terutamanya di kawasan Changlun. Dahulu penduduk-penduduk terdiri dari penoreh getah dan pesawah padi tapi ada pembangunan seperti universiti, kilang-kilang jadi banyak peluang-peluang pekerjaan terutamanya rakyat tempatan,” katanya lagi.

Manakala bagi anak muda, Muhammad Hanif Zainal Abidin, 27, ahli perniagaan mengharapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ini BN dan Pakatan Harapan (PH) dapat mentadbir negeri ini serta memudahkan segala urusan.

“Rakyat perlu mengundi kerajaan BN/PH agar kerajaan negeri dan pusat sama sealiran dan senada. Apabila kerajaan negeri sama maka lebih mudah berurusan pentadbiran, pembangunan dan peruntukan.

“Urusan pentadbiran akan lebih mudah sekiranya sama dengan pusat. Sekiranya tidak sama agak sukar kerajaan pusat untuk memberi peruntukan dan sebagainya. Sebagai contoh SBEZ (Zon Sempadan Ekonomi Khas di Bukit Kayu Hitam) terbantut disebabkan kerajaan negeri adalah pembangkang dan tidak sama dengan Persekutuan,” katanya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN di enam negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai lalu manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.