Pentingnya Satu Kerusi Untuk Tubuhkan Kerajaan – Aznel

 

BALING, 3 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim berkata perbezaan kemenangan walau hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting dalam pembentukan sesebuah kerajaan negeri.

Oleh kerana itu katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Bayu yang diwakili calonnya Datuk Ishak Mat amat mustahak bagi penubuhan kerajaan negeri Kedah.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu itu juga berharap rakyat di DUN Bayu pada hari pengundian 12 Ogos nanti memilih Ishak supaya kepentingan dan kebajikan mereka terjamin serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Satu kerusi (DUN Bayu) Datuk Ishak ini amat berharga untuk kita menubuhkan kerajaan. Jangan ambil mudah… Di Perak dahulu hanya lebih satu kerusi… banyak tawaran untuk melompat (parti). Saya dahulu ditawarkan RM10 juta untuk melompat tetapi saya tetap dalam UMNO.

“Sebab apa? Sebab sayangkan anak cucu dan kita terima kasih kepada UMNO dan Barisan Nasional kerana anak cucu akan mendapat apa yang kita dapat. Sehingga kini saya tetap bersama UMNO, tetap mengatakan UMNO yang terbaik, UMNO yang akan membantu kita, membela nasib anak cucu kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis santai bersama penduduk Kampung Iboi di sini, Rabu petang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, UMNO/BN Bahagian Gerik diberi tugas dan tanggungjawab menjadi bahagian angkat bagi DUN Bayu.

Seterusnya, Aznel turut berkata tugas wakil rakyat bukan semata-mata ziarah kematian tetapi yang lebih penting menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan menjaga hak rakyat seperti perkara-perkara yang menyentuh ekonomi rakyat, pendidikan anak-anak dan sentiasa memikirkan langkah-langkah dalam membantu rakyat.

Selain itu, dalam ucapannya Aznel juga membuat pencerahan mengenai tuduhan dan permainan sentimen pihak lawan yang mengatakan UMNO dan Dap telah ‘berkahwin’ ekoran penubuhan Kerajaan Perpaduan hasil kesepakatan BN dan Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain parti.

“Kita sekarang bersama… BN dan PH… dan saya mahu perbetulkan apa yang mereka (pihak lawan) kata kita ‘kahwin’ dengan Dap… kita tidak ‘kahwin’ pun dengan Dap sebab kalau kita ‘kahwin’… tidak ada dah lambang BN, lambang PH.

“Contoh Perikatan Nasional (PN) bila dah ‘kahwin’ (Bersatu dan Pas) keluar Perikatan Nasional. BN tidak pernah ‘kahwin’ dengan Dap. BN dan PH (terbentuk) atas Kerajaan Perpaduan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.