Mohd Isa Yakin Penerimaan Rakyat, Sedia Terus Berkhidmat

SERENDAH, 3 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim yakin penerimaan masyarakat akan dapat memberi kesempatan untuk beliau kembali berkhidmat kepada rakyat tempatan.

Katanya, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang telah memasuki hari keenam, beliau telah menenui seramai yang boleh pengundi dengan keluar seawal 5.30 pagi.

“Alhamdulillah, nampaknya penerimaan rakyat amat baik kerana saya anak tempatan di sini, bukan orang baharu kerana saya pernah menjadi wakil rakyat di sini pada 2008 hingga 2013 dan kemudian saya tidak dicalonkan namun saya tetap turun padang dengan program-program sedemikian.

“Nampaknya sambutan rakyat cukup baik terhadap saya. Tak ada masalah, tak ada isu dan alhamdulillah setakat ini lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program mesra rakyat di Klinik Kesihatan Serendah, di sini, hari ini.

Ujarnya, beliau hadir ke klinik terbabit bagi melihat dan meninjau satu-satunya klinik di sini yang boleh menerima ramai pesakit dalam jumlah yang besar.

“Namun demikian kita mendapat aduan jumlah pesakit yang terlalu tinggi sehinggakan ada mencapai 800 hingga 1,000 orang dalam sehari. Ia sebenarnya tidak dapat menampung jumlah pesakit di kawasan Batang Kali ini dan ini menjadi kesukaran kepada penduduk di sini kerana di Bahagian Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa masih belum ada klinik yang seumpama ini.

“Jadi antara tawaran yang diberikan kepada penduduk di sini adalah untuk mewujudkan sebuah klinik yang sebegini di kawasan Bukit Sentosa bagi memberi ruang kepada penduduk tempatan dan tidak menyusahkan rakyat.

“Ia antara manifesto saya dan akan minta ia disegerakan,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor.

Hari mengundi bagi PRN di enam negeri termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan berlangsung 12 Ogos ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.