BN Beri Laluan Amanah Tanding PRK Simpang Jeram, Pulai – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 Sept depan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita amat menghormati kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan dan kita tahu bahawa kerusi Parlimen Pulai adalah hak parti Amanah iaitu rakan politik dalam kerajaan dan mereka adalah penyandang.

“Kerusi DUN Simpang Jeram juga kepunyaan parti Amanah. Maka atas semangat Kerajaan MADANI, kita akan dukung kedua-dua kerusi itu ditandingi rakan-rakan parti Amanah,” katanya kepada media selepas melancarkan program TVET JELITA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 Sept.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 Sept.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.