Agenda ‘Ubah Kelantan’ Bawa Kesedaran Pentingnya Selarikan Kerajaan Negeri Dan Pusat

TUMPAT, 3 Ogos – Agenda ‘Ubah Kelantan’ yang dilaungkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ini adalah untuk membawa kesedaran mengenai betapa pentingnya untuk menyelarikan pentadbiran negeri dan pusat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu, Abdul Mannan Md Said berkata, sepanjang 33 tahun pemerintahan Pas, negeri tersebut kelihatan terpinggir daripada arus pembangunan kerajaan pusat.

“Slogan yang kami laungkan di Kelantan ini amat tepat bagi saya kerana sudah 33 tahun kita di bawah pemerintahan Pas dan sepanjang tempoh ini kami terpinggir daripada arus pembangunan kerajaan pusat.

“Kami nak bawa agenda ‘Ubah Kelantan’ ini bagi menyedarkan rakyat Kelantan yang pentadbiran di negeri harus selari dengan pusat.

“Kita mahu negeri kita tidak lagi dinobatkan sebagai negeri termundur dalam arus pembangunan dan kebajikan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, dalam tempoh pemerintahan Pas tersebut ternyata kerajaan negeri gagal untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat seperti isu air dan peluang pekerjaan.

“Sepanjang pemerintahan Pas selama 33 tahun di Kelantan ini mereka gagal untuk menyelesaikan isu kebajikan dan permasalahan rakyat yang ada pada ketika ini.

“Gagal tangani isu air, anak muda yang terpaksa berhijrah mencari pekerjaan sebab kami ketinggalan di sini.

“Isu-isu rakyat tidak ditangani. Bagi saya, untuk menjadi seorang wakil rakyat kita harus menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Mannan turut memaklumkan bahawa para jentera berusaha untuk mendekati anak muda dengan menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan untuk meraih undi mereka.

“Untuk pengundi muda setakat ini saya cuba untuk mencari ketua-ketua mereka. Contohnya mereka bermain ‘carrom’, kami akan bersama mereka, bermain bersama-sama dalam usaha mendekati mereka.

“Setakat ini saya sudah menyenaraikan ketua-ketua bagi pengundi muda mengikut pusat daerah mengundi (PDM). Pertemuan sedang diaturkan dan akan diadakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan para jentera menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya dalam tempoh berkempen ini dan para pengundi sedar akan betapa pentingnya menyelarikan pentadbiran negeri serta pusat.

“Kepada para jentera, saya mengharapkan kita menjalankan kerja pada PRN ini dengan bersungguh-sungguh. Lakukanlah dengan amanah, ketulusan dan kejujuran berserta ijtihad untuk mengubah Wakaf Bharu. Segalanya demi masa depan Wakaf Bharu.

“Kepada para pengundi, saya mengharapkan mereka mempunyai kesedaran bahawa kita sudah ketinggalan selama 33 tahun berbanding negeri-negeri lain.

“Kita harus selari dengan kerajaan pusat dan saya menyeru rakyat Wakaf Bharu kita ubah sekali dan tengok apa yang kami lakukan. Insya-Allah Wakaf Bharu pasti berubah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit