Pembangunan Sosial, Tingkat Pertumbuhan Ekonomi Di Bukit Besi Antara Tumpuan Din Adam

BUKIT BESI, 2 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Datuk Din Adam berkata pihaknya akan memberi tumpuan yang menyeluruh berkait soal pembangunan sosial dan ekonomi setempat di kawasan tersebut demi manfaat rakyat.

Menurut beliau dengan adanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kawasan berkenaan sudah pasti ianya mampu menjana limpahan ekonomi dengan sebaiknya kepada masyarakat setempat jika segala perancangan dan pelaksanaan dapat dijayakan sebaik mungkin.

“Insya-Allah…jika diberi kepercayaan kita akan tingkatkan pertumbuhan di kawasan ini kerana dengan adanya UiTM Bukit Besi…akan beri pertumbuhan yang cepat. Saya tidak ada kuasa hari ini dan insya-Allah jika diberi kepercayaan barulah ada kuasa untuk membantu masyarakat dan membangunkan kawasan ini dengan sebaiknya.

“Kita tidak bawa politik kebencian…tidak cari salah orang. Kita buat yang terbaik untuk masa depan kita. Pembangunan dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan bukannya dilaksanakan melalui mencari salah orang. Insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu beliau mengadakan walkabout dan beramah mesra bersama penduduk setempat di Kg Besol Lama di sini.

Krew UMNO-Online yang berpeluang bersama-sama dalam walkabout tersebut melihat kemesraan yang terjalin antara masyarakat setempat bersama calon BN tersebut.

Menggunakan ‘Tag Line’ DDA, ‘Dekat Dihati Anda’, selain ianya juga seiring dengan nama beliau iaitu Datuk Din Adam, calon BN DUN Bukit Besi itu melahirkan pengharapan kepada masyarakat khususnya pengundi untuk sama-sama membangunkan kawasan berkenaan.

Kata beliau kempen di Kg Besol Lama dan beberapa kawasan lain menampakkan sambutan yang amat memberangsangkan dan ianya memberi semangat untuk terus bergerak dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah ianya memberi semangat kepada saya untuk terus menyantuni masyarakat di bawah… sebab yang penting kepada kita ini bukan soal menang itu semata-mata tetapi kemenangan itu diterjemahkan dengan memberi perkhidmatan kepada rakyat itu sendiri dan masyarakat sepatutnya.

“Kita merancang sesuatu kepada mereka dalam bentuk pembangunan infrastruktur serta pembangunan sosial yang menjadi kehendak rakyat. Kita kena ubah landskap masyarakat itu bukan soal kita mencari salah orang dan kita tidak perlulah kita cari ‘point-point’ untuk salahkan pihak lain. Pas kerja…kerjalah cara dia. Kalau dia mampu… mampulah tetapi mungkin masyarakat akan tahu apa yang dah diberi dalam bentuk perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Dalam konteks ini perlu juga rakyat menilai apabila mereka telah berada di dalam kerajaan BN, sekarang kerajaan Pas… kita bercakap dalam konteks kerajaan Terengganu dan sudah tentu sejauh mana kemampuan yang ada dalam kerajaan Pas hari ini. Kalau kerajaan tidak mampu sudah tentu mereka akan beralih arah dan saya lihat sentimen itu ada.

“Insya-Allah peluang itu ada dan sebab itu saya menyeru kepada masyarakat dalam hal mencari kemudahan ini mestilah memilih sebuah kerajaan yang selari antara kerajaan negeri dan pusat. Kerajaan negeri sekarang Pas dan tidak sehaluan dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Kerajaan pusat ada kaedah dia… kerajaan negeri ada cara dia dan sebab itu yang paling utama kalau kita mahukan sesuatu biarkan pentadbiran itu selari antara kerajaan negeri dan pusat. Jadi dengan hakikat ini saya menyeru kepada pengundi DUN Bukit Besi… berilah sokongan dan tengok-tengoklah… saya calon nombor dua BN..’DDA’ Dekat Dihati Anda,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.