Noorazli Iltizam Realitikan Tujuh Inisiatif Untuk Warga Dengkil

SEPANG, 2 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil mengajak pengundi untuk teruskan tekad bersama Kerajaan Perpaduan bagi memastikan iltizam dan perancangan pembangunan yang telah digariskan dapat dilaksana dengan lancar.

Katanya, manifesto yang telah diumumkan untuk rakyat Selangor adalah perancangan tawaran terbaik dalam pembangunan selain beliau sendiri mempunyai tekad sebagai iltizam untuk warga Dengkil.

“Sebagai calon di Dengkil ini ada beberapa iltizam yang saya gariskan, ada tujuh iltizam untuk warga Dengkil. Tekad lima tahun ini saya lihat ianya merupakan salah satu penambahbaikan daripada pelbagai tekad sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tujuh tekad beliau membabitkan inisiatif kesihatan, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan ekonomi.

Kata Noorazli, inisiatif tersebut adalah selari dengan manifesto Kerajaan Perpaduan dan lima tekad bagi Negeri Selangor.

“Saya merasakan tekad ini menjiwai terus kepada sanubari rakyat. Ia seiring dengan tuntutan kita sebagai manusia. Maknanya kita harus kembali kepada sifat kemanusiaan kita iaitu kita mahukan pembangunan namun aspek-aspek yang melibatkan insaniah kita tidak abaikan.”

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menerangkan kepada rakyat khususnya pengundi bagi memastikan perancangan ini dapat dilaksana.

“Kita di bawah ini harus terangkan tentang apa yang nak dibawa berkaitan lima tekad ini kepada rakyat agar mereka semua memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kita harus menangkan calon-calon kerajaan Perpaduan ini kerana kita ada agenda yang lebih besar, kita tambah baik lagi apa yang kita capai dengan gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) kerana kita yakin dan percaya ia akan bawa kejayaan yang lebih jauh kepada negeri Selangor ini.”

Ujarnya, biarpun konsep perpaduan ini masih baharu iaitu sekitar lapan bulan namun ianya diterima baik dikalangan masyarakat.

“Tidak ada ertinya kalau kita punyai satu kerajaan yang tidak stabil yang mana nanti akhirnya hanya lebih kepada perebutan kuasa. Sebab itu penting ada kestabilan apabila kedua-dua parti terbesar iaitu BN-PH ini mempunyai sokongan dan bergabung dengan kedua-duanya mempunyai pengalaman yang baik dari sudut mentadbir.

“Akhirnya kerajaan yang stabil akan dapat memberi pulangannya kepada rakyat. Jika tidak nanti setiap polisi-polisi akan bertukar ganti apabila perebutan kuasa dibuat dan pembangunan serta kemajuan gagal dilaksana,” katanya lagi.

Terdahulu beliau turut ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Tanjong Sepat dekat sini malam tadi.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Setr Anwar Ibrahim selain calon PH dan BN bagi DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah dan calon DUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dengan undi awal pada 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.