Kembali Ke Senaling, Ismail Lasim Pertaruh Pengalaman

KUALA PILAH, 2 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim mengakui memiliki kelebihan tersendiri dalam mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang pernah berkhidmat di DUN ini dari 1999 sehingga 2018 berkata kesempatan dan pengalaman tersebut akan digunakan sebaiknya kerana sudah sekian lama mempunyai hubungan yang baik dengan pengundi.

“Mungkin ada sedikit kelebihan kepada saya iaitu selama empat penggal, sudah tentu sudah mengenali pengundi saya di DUN ini.

“Ramai yang saya kenal, khususnya orang-orang lama yang tinggal di sini cuma generasi baharu yang mungkin tidak mengenali sewaktu saya sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Juasseh pada 2018,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut berkenaan undi golongan muda, Ismail yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata sayap-sayap parti memainkan peranan penting dalam menarik sokongan mereka.

“Kita memang akui bahawa pengundi muda mewakili peratusan yang agak besar daripada dahulu.

“Namun itu tiada masalah kerana saya tidak hanya mendekati orang lama, kumpulan baharu ini juga kita dekati secara bersama dengan Pergerakan Pemuda dan Puteri serta anak muda yang memang kita santuni sepanjang tempoh berkempen,” ujar beliau.

Bercakap berkenaan dinamika politik negara, beliau berkata rakyat pada masa kini sudah terbuka dan menerima kerjasama yang dijalin di antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Konsep Kerajaan Perpaduan ini pada saya semakin hari semakin diterima oleh masyarakat kita kena faham bahawa dinamika politik hari ini memang memerlukan kerjasama di antara parti-parti seperti mana tertubuhnya kerajaan Persekutuan.

“Kita di kerajaan negeri pun mengambil templet yang sama untuk menggerakkan jentera parti yang bersepadu di antara BN-PH.

“Saya rasa sudah ada sedikit sebanyak keserasian walaupun pada peringkat awalnya agak susah tetapi sudah ada jalinan baik apabila rakyat juga memahami bahawa perlunya kita melakukan kerjasama dalam membentuk kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, DUN Senaling menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Ismail dengan Amrina Mohd Khalid yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.