Agihan Kerusi PRN, Gerak Kerja Terjemah Kesepakatan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

KAJANG, 2 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan telah diterjemahkan malah dibuktikan melalui kesepakatan dalam pembahagian kerusi dan gerak kerja dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kini.

Katanya, Kerajaan Perpaduan ini telah menukar perasaan benci kepada sayang.

“Dalam keadaan yang begitu atas kesepakatan dan keserasian antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana kerusi Dusun Tua yang sebelum ini dimenangi Dap sanggup diberikan kepada BN. Begitu juga Amanah yang memberikan kerusi DUN Lenggeng untuk ditandingi oleh BN,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN berkata demikian dalam ucapan ketika ramah mesra bersama jentera PDM Kantan Permai, di sini, hari ini.

Jelasnya, atas kesepakatan dan keserasian Kerajaan Perpaduan, daripada 245 kerusi DUN dari enam negeri, BN bertanding 108 sedangkan yang dimenangi sebelum ini ada 38 kerusi.

“Selebihnya ada 70 kerusi. 70 kerusi ini ada yang kerusi Amanah dan Dap berikan kepada kita kerana Kerajaan Perpaduan mesti diterjemahkan.

“Memang ada protes diperingkat awal tetapi kesepakatan yang ada dalam Kerajaan Perpaduan mengatasi segala-gala masalah yang ada di kalangan anggota dan kepimpinan parti. Memang bukan mudah tetapi ia ibarat tak kenal maka tak cinta.”

Lantaran itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa pengundi Selangor wajib mengekalkan Kerajaan Negeri Selangor yang sedia ada.

“Hakikatnya ialah Selangor memang negeri maju, negeri perindustrian dan kini akan ditingkatkan sebagai negeri berteknologi tinggi dan akan membawa pelabur-pelabur terus ke sini. Kerana itu adalah wajib untuk anak-anak Selangor mengekalkan kemenangan di negeri ini termasuklah di DUN Semenyih dan DUN Dusun Tua,” katanya lagi.

Turut hadir ialah calon BN bagi DUN Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz dan calon DUN Semenyih, Wan Zulaikha Anua.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dengan undi awal pada 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.