Puteri UMNO Turun Padang Ke Gemas Bantu Calon BN


TAMPIN, 1 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini berbesar hati melakukan edaran risalah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersama kepimpinan parti melakukan ‘walkabout’ tersebut bersama calon DUN Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said di Pekan Gemas tengah hari tadi.

Sementara itu ketika ditanya berkenaan kempen sayap parti itu di negeri PRN, beliau berkata walaupun sebahagian besar kepimpinan Puteri masih baharu namun mereka komitmen dalam melaksanakan gerak kerja terbaik.

“Kesemua kepimpinan Pergerakan Puteri adalah baharu jadi saya akan pantau setiap hari malah kami juga melakukan pertemuan di antara ketua Puteri bahagian untuk berbincang perkara membabitkan pilihan raya, bagi memastikan mereka tahu apa perlu dibuat sepanjang berkempen.

“Sama juga di negeri lain kita pantau semua daru segi gerak kerja, pendekatan yang dilakukan dan macam mana Puteri lakukan untuk berkempen, alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Nurul Amal dalam pada itu memaklumkan beliau akan terus melakukan siri jelajah bagi membantu calon-calon berkempen sempena PRN ini. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit