PH-BN Lancar Tawaran Kita Selangor, Jadikan Selangor Antara Negeri Termaju Di Asia

SHAH ALAM, 31 Julai – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) malam ini melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor sekiranya dipilih untuk menerajui negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Lima teras itu adalah Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi; Agama Sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor; Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien; Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni dan Selangor Negeri Penyayang Yang Membela Kepentingan Rakyat.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata tawaran yang dibentangkan adalah berdasarkan kepada kesinambungan kejayaan, kecemerlangan serta kemakmuran yang dikecapi Selangor dan dirangka berdasarkan cetusan idea Pasukan Perpaduan membabitkan wakil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, DAP dan UMNO.

“Pakatan Harapan dan Perpaduan Selangor bertekad meneruskan usaha-usaha yang telah menawarkan kehidupan bermaruah kepada segenap lapisan rakyat Selangor sejak lima tahun lalu dengan satu tawaran dan manifesto yang dirangka hasil perancangan teliti Pasukan Perpaduan untuk kesinambungan kecemerlangan Selangor bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Tawaran Kita Selangor dan pengenalan calon-calon mewakili Perpaduan Selangor di sini.

Hadir sama Pengerusi BN Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata di bawah teras ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, gabungan itu menyediakan 14 tawaran, antaranya menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada generasi muda Selangor, menjadikan Selangor destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara dengan mewujudkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Tawaran lain termasuklah mewujudkan tiga perbandaran baharu di Sepang, Sabak Bernam dan sepanjang jajaran Sungai Klang, memberikan baucar pembelian buku RM200 kepada orang muda, menawarkan peluang latihan industri dengan bayaran RM1,500 sebulan bagi 2,000 pelatih dan mewujudkan Geran Digital Kita Selangor yang menyasarkan kewujudan 10,000 Duta Kreatif Kita Selangor dengan peruntukan RM5 juta untuk tempoh lima tahun.

Di bawah teras agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor, gabungan itu menggariskan sembilan tawaran termasuklah menyediakan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama, meningkatkan elaun imam, bilal, siak dan nazir masjid secara berperingkat serta meningkatkan peruntukan bagi komuniti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao agar tahap infrastruktur rumah ibadat bukan Islam dapat ditambah baik.

Bagi teras Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien, gabungan PH-BN merangka lima tawaran antara lain akan memudahkan urusan individu, syarikat dan agensi di negeri ini dengan mendigitalkan sepenuhnya perkhidmatan kerajaan, membantu setiap perniagaan di Selangor untuk beralih sepenuhnya kepada sistem digital dan menghubungkan Pusat Kawalan Kerajaan Negeri dengan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha meningkatkan perkhidmatan dan lebih responsif.

Sebanyak 12 tawaran turut ditawarkan dalam teras keempat Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni, antaranya menawarkan Kediaman Kita Selangor, iaitu sebanyak 200,000 unit lengkap tiga bilik tidur dan dua bilik air serta fasiliti selesa berharga RM250,000 ke bawah bagi warga Selangor serta pembiayaan kewangan dengan institusi perbankan. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit