Kerajaan Perpaduan Bukan Kosmetik Politik, Kerjasama Hingga Ke Akar Umbi – Megat Zulkarnain

SHAH ALAM, 1 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah sebagai satu kosmetik politik dan bukan juga satu gambaran untuk mengkaburkan mata rakyat.

Sebaliknya kata beliau, Kerajaan Perpaduan ini benar-benar wujud demi kepentingan rakyat secara keseluruhan sebagaimana kerjasama yang dilaksana dari peringkat atas hinggalah kepada gerak kerja jentera di akar umbi.

“Tiga hari yang lepas telah membuktikan bahawasanya apa yang telah diusahakan, apa yang telah diharapkan oleh Perdana Menteri supaya satu penggemblingan tenaga, satu pemikiran yang sama bagi menuju ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dapat dilaksana.

“Dalam 200 lebih kerusi DUN yang bertanding di enam buah negeri ternyata Kerajaan Perpaduan ini semangatnya bukan hanya pada istilah tetapi telah membuktikan tidak ada satu pun kerusi DUN yang kita bertembung sesama sendiri.

“Ini menandakan bahawasanya Kerajaan Perpaduan ini bukan hanya sebagai kosmetik politik, bukan hanya satu gambaran untuk mengkaburkan rakyat tetapi kerajaan perpaduan ini benar-benar wujud,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap calon bagi DUN Gombak Setia berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang disempurnakan oleh Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, malam tadi.

Megat Zulkarnain juga percaya bahawa rakyat Selangor khususnya pengundi akan memberikan sokongan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun di peringkat awal mereka menyerang kita, yang pihak satu lagi menyatakan pastinya tidak akan ada kerjasama politik di peringkat akar umbi tapi terbukti dalam tempoh tiga hari ini Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor bukan hanya slogan tetapi telah bergerak sebagai satu entiti yang kuat yang akan menentukan kemenangan Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor.

“Jadi saya percaya rakyat Negeri Selangor merupakan pengundi yang cukup bijaksana. Kita mesti hentikan politik kebencian, mesti hentikan politik adu domba, kita mesti katakan tidak pada politik perbalahan dan kita angkat politik perpaduan demi rakyat dalam negeri Selangor ini.”

Katanyanya, ini penting kerana tanpa perpaduan maka kestabilan dan kemakmuran tidak ada tercapai.

“Garapan daripada lima tekad untuk lima tahun ini bukannya hanya sudut pandang dari Datuk Menteri Besar sahaja. Kami berbincang, kami duduk semeja bagaimana pemikiran idea dan sebagainya dapat kita sampaikan supaya ia akan memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor kesuluruhan.

“Jadi kepada jentera-jentera jangan berhenti, pulang nanti kepada 56 kawasan DUN dalam Negeri Selangor, teruskan bekerja dekati rakyat sampaikan mesej kita kepada rakyat bahawasanya politik perpaduan yang kita bawa ke Negeri Selangor inilah model yang terbaik yang mesti diangkat, dijunjung untuk kepentingan kita bersama.

“Pastikan perkara-perkara yang tidak penting, pastikan perbalahan yang dibawa oleh mereka, politik hinaan, politik cacian mesti kita tolak. Tidak ada tempat buat mereka di bumi Selangor yang bertuah ini,” katanya lagi.

Terdahulu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN malam tadi melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor sekiranya dipilih untuk menerajui negeri ini pada PRN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.