Dukungan, Semangat Luar Biasa BN-PH Harungi PRN – Ahmad Zahid

PORT DICKSON, 1 Ogos – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komposisi di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) berada dalam dukungan luar biasa.

Malah katanya, ramalan daripada pihak tertentu berkenaan kekalahan pada PRN adalah tidak benar kerana mandat daripada rakyat pada 12 Ogos ini yang akan memberikan keputusan sebenar.

“Apa pun ramalan dan juga analisis politik realitinya mandat rakyat adalah mandat yang muktamad, suara rakyat adalah suara keramat kerana kerjasama BN-PH ini mempelihatkan keserasian luar bisa.

“Walaupun ini merupakan percubaan pertama Kerajaan Perpaduan tetapi kita dapat menelah bahawa generasi baru mahu di negara ini mahu melihat ikon baharu dalam kepimpinan negara, rakyat pada keseluruhannya di enam negeri ini menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon baharu tersebut.

“… dan tentunya ketokohan beliau dapat menggamit sokongan kepada calon kita malah saya tetap yakin dengan program yang dibentangkan dalam Ekonomi Madani untuk memperkasa rakyat dapat diterima dengan baik kerana semua golongan dan lapisan masyarakat disantuni sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Bagan Pinang semasa sidang media selepas menemui pengundi dalam bual santai di sini, petang tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa; calon Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli serta kehadiran pemimpin MIC, MCA dan PH.

Beliau dalam pada itu menambah, rakyat perlu memanfaatkan peluang memilih pemimpin dan kerajaan baharu dengan sebaiknya bagi memastikan pembangunan di negeri dapat terus dilaksanakan dengan baik.

Ahmad Zahid turut mengambil contoh Kelantan yang mendapat perhatian Perdana Menteri membabitkan keperluan asas air dan juga masalah banjir yang sering dihadapi oleh rakyat di negeri itu.

“Dalam hal ini rugilah pengundi di enam negeri ini tidak dapat bersama mambentuk kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan.

“Umpamanya di Kelantan, negeri itu belum bersama dengan kita tetapi keadilan yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri dari segi peruntukan air dan juga tambatan banjir menunjukkan bahawa beliau menterjemahkan keadilan itu untuk semua, apatah lagi jika negeri itu kita dapat pimpin,” jelas beliau.

Beliau dalam pada itu  meluahkan kepercayaan dengan adanya industri baharu di Negeri Sembilan kelak akan membawa manfaat terutama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Macam Negeri Sembilan ini kita ketahui mempunyai potensi yang cukup besar dari segi membawa pelabur-pelabur domestik dan luar, saya yakin jumlah pengganguran telah berada di tahap rendah.

“Saya sebutkan juga lebuhraya yang menghubungkan Alor Gajah-Banting-Taiping West Cost Expressway saya yakin akan ada connectivity ini penting jika kerajaan negeri itu adalah selari dengan Pusat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.