Wanita UMNO Laksana Gerak Kerja Terbaik Harungi Minggu Kempen

KUALA PILAH, 31 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad percaya dengan komitmen dimainkan jentera Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi tempoh berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, ini termasuk di antara gabungan Wanita tempatan dan bahagian angkat yang bekerjasama dalam melaksanakan gerak kerja terbaik untuk parti.

“Kita lipatgandakan usaha kerana kekuatan Wanita UMNO adalah jenteranya dan ia sedang digerakkan untuk bersama-sama mendekati penduduk setempat.

“Sebab setiap tempat kita ada jentera, jadi dengan adanya Wanita tempatan dah Wanita angkat dan mereka akan menggembleng tenaga untuk pastikan pengundi mengundi BN,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut berkongsi siri kempennya ke enam negeri PRN yang dilaksanakan secara berkelompok dengan pengundi.

Jelas Noraini pendekatan tersebut dilakukan agar mereka merasa dekat dengan beliau di samping menceritakan agenda yang dibawa BN di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita membuat pendekatan secara personal touch dengan masyarakat terutamanya golongan wanita setempat dan saya tidak mahu membebankan calon-calon kerana apa yang kita buat adalah secara bersama.

“Apabila calon bersama kita akan sertai contoh seperti di Kedah baru-baru ini, apa yang kami buat adalah bersama dengan masyarakat tempatan dan usahawan.

“Itu antara lain pendekatan yng kita buat, tapi kita juga membuat program secara berkelompok dan perlu untuk berjumpa dengan seramai mana pengundi di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online semasa bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh melakukan gotong royong di Jeram Beting yang turut disertai calon Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit