Perumahan Mampu Milik Antara Fokus Shaikh Hussein Untuk DUN Sungai Dua

BUTTERWORTH, 31 Julai – Perumahan mampu milik, kebajikan dan pendidikan antara yang akan diberi tumpuan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua Datuk Shaikh Hussein Mydin, jika diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini.

Shaikh Hussein berkata beliau akan memastikan tiga fokus utama tersebut direalisasikan demi kesejahteraan penduduk di DUN yang mempunyai lebih 23,000 pengundi itu.

“Dalam pertemuan dengan penduduk DUN Sungai Dua, mereka mengatakan tidak banyak rumah mampu milik di sini, jadi saya merancang mewujudkan lebih banyak perumahan mampu milik bagi memberi peluang mereka memiliki rumah sendiri.

“Saya akan usahakan pembangunan perumahan mampu milik itu kerana percaya ia mampu di laksanakan oleh BN dan Pakatan Harapan, kita sekarang ini kerajaan Persekutuan,” katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Komuniti di Pajak Song di sini semalam.

Mengenai kempennya yang memasuki hari kedua hari ini, Shaikh Hussein berkata penerimaan orang ramai sangat baik dan jentera parti itu juga berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang itu, berharap pengundi DUN Sungai Dua termasuk 20 peratus pengundi muda memberi undi kepadanya pada 12 Ogos ini bagi membolehkan beliau membawa suara mereka bukan sahaja di DUN Pulau Pinang tetapi juga di peringkat Persekutuan.

“Kempen saya selama dua minggu nanti lebih kepada secara bersemuka bertemu pengundi. DUN Sungai Dua ada kira-kira 18,000 pengundi Melayu, manakala Cina lebih 4,000 dan India seramai 630 orang.

“Saya mahu jumpa seramai mungkin pengundi dan diharapkan momentum baik ini kekal hingga hari pengundian sekali gus diterjemahkan dengan memberi keputusan terbaik kepada BN nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut turun padang membantu kempen BN hari ini, meminta pengundi Pulau Pinang memastikan calon BN termasuk Shaikh Hussein dan Pakatan Harapan memenangi PRN kali ini bagi mengekalkan kestabilan politik di negara ini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata kestabilan politik negara perlu dipelihara agar manfaatnya boleh diturunkan kepada rakyat dari segi peningkatan perlaburan asing, pertumbuhan ekonomi dan pertambahan peluang pekerjaan. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit