Bibi Sharliza Optimis Sokongan Di Juasseh, Rakyat Bijak Tepis Sentimen Parti Lawan

KUALA PILAH, 31 Julai – Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid optimis dengan sokongan pengundi kepada dirinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelas beliau, ini kerana rakyat kini bijak dalam menilai agenda dibawa Barisan Nasional (BN) berbanding terpedaya dengan helah mengelirukan dibawa parti lawan.

“Sebenarnya penerimaannya positif, salah satu sebabnya bertanding di atas logo dacing, kekeliruan itu dibuat kerana parti lawan kaitkan dengan undi Dap sedangkan ianya tidak berlaku.

“… kerana apabila kita menggunakan logo dacing itu kelebihan yang kita ada,” katanya

Mengulas berkenaan Kerajaan Perpaduan, Bibi Sharliza berkata pelbagai penerangan telah dilakukan kepada akar umbi parti bagi memberi penjelasan berkenaan kerjasama ini.

“BN menerangkan bahawa Kerajaan Perpaduan itu berlaku sekiranya menang barulah kita bergabung.

“Kita buat penjelasan awal, di Negeri Sembilan sudah dilakukan kepada ketua-ketua cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Malah kita juga bersama Pakatan Harapan, gerakkan jentera perpaduan dengan lebih kuat,” katanya.

Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan dalam pada itu berkongsi bahawa beliau mengambil pendekatan yang lebih mesra bersama pengundi dengan bertemu mereka melalui aktiviti yang sinonim dengan rakyat.

“Alhamdulillah pendekatan yang saya buat adalah menyantuni pengundi di tempat masing-masing, maknanya saya turun padang berjumpa mereka mengikut kepada program yang mereka suka.

“Saya juga sudah turun ke 11 pusat daerah mengundi dalam DUN ini dan mendapat respon yang sangat baik daripada pengundi,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Juasseh ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Bibi Sharliza dengan Datuk Eddin Syazlee Sith yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit