Gelombang Penolakan Terhadap BN Di Kedah Sudah Reda – Mahdzir

KUALA NERANG, 31 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata gelombang penolakan terhadap BN sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas dilihat kini telah reda.

Mahdzir yang juga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu percaya sokongan pengundi terhadap BN sudah kembali seperti sebelum PRU15 lepas.

“Gelombang yang berlaku pada November lalu (PRU15) memang besar sehingga membolehkan Perikatan Nasional (PN) mendapat terlalu banyak undi…kini gelombang itu sudah tiada dan kita kembali kepada keadaan asal.

Jadi tanpa adanya gelombang dan angin kuat itu, maka saya jangkakan akan berlaku persaingan sengit melibatkan PN dengan gabungan BN dan PH bagi memerintah negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk Kampung Kubang Kenyeng di sini hari ini.

Sementara itu, Mahdzir turut menggesa pengundi untuk membuat pilihan berdasarkan khidmat seseorang calon dan bukannya berpandukan kepada keadaan gelombang atau terpengaruh dengan sentimen semata-mata.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berhadapan satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit