DUN Pertang Tak Asing Bagi Jalaluddin, Khidmat Bakti Jadi Sandaran

JELEBU, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui pengalaman sebagai bekas ADUN di kawasan berkenaan dan Ahli Parlimen Jelebu memberi kelebihan kepada dirinya.

Jelas beliau, rakyat di kawasan ini sememangnya mengenalinya berdasarkan khidmat bakti dan prestasi terbaik yang dilakukan.

“Apabila bersama pengundi saya melihat penerimaan mereka seperti biasa kerana saya adalah Ahli Parlimen mereka malah DUN ini juga tidak asing kerana ini adalah kawasan DUN saya sejak 2013.

“Kemudiannya saya pergi ke Parlimen, ini banyak sangat membantu kerana hampir keseluruhan pengundi mengenali malah mereka tahu tentang khidmat dilakukan sepanjang tempoh saya menjadi ADUN sebelum ini dan Ahli Parlimen,” katanya.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bagaimanapun berkata ianya tidak bermakna beliau perlu memandang ringan dengan penerimaan rakyat.

“Cumanya sekarang ini saya perlu turun seperti biasa kerana ada orang cakap rakyat sudah kenal kenapa kena turun.

“Saya perlu lakukannya untuk memberi penjelasan kerana suasana politik agak berbeza berbanding sebelum ini termasuk kerjasama BN-PH,” jelas beliau.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa perjalanan kempennya lancar dan sudah bertemu rakyat di seawal pembubaran DUN.

“Saya juga telah pergi ke kampung hampir kesemuanya selesai walaupun hanya tiga hari kerana saya terpaksa mengambil kesempatan ini untuk segera menghabiskan lawatan akhir bagi kesemua kawasan kerana perlu menumpukan beberapa kawasan DUN lain di negeri ini untuk membantu calon lain,” katanya.

Untuk rekod, DUN Pertang ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Jalaluddin dengan Amirudin Hasan yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.