Dr Zaki Mahu Perkasa Pertanian, Ternakan Ala Ladang ‘Farm Fresh’

CHUKAI, 31 Julai – Memperkasa industri pertanian dan ternakan ala ladang tenusu Farm Fresh menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Dr Mohd Zaki Salleh jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos ini.

Mesra dengan panggilan Dr Zaki oleh masyarakat tempatan berikutan profesionnya yang merupakan seorang doktor perubatan, beliau terpanggil untuk melaksanakan inisiatif itu selepas melihat kawasan berkenaan mempunyai banyak tanah yang belum dibangunkan.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun sebelum ini, tiada sebarang perancangan teliti dan berkesan dirangka untuk penduduk tempatan yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian dan ternakan.

“Di DUN ini satu daripada sumber ekonominya adalah pertanian dan ternakan. Kita ada kelapa sawit dan taman kekal pertanian selain terdapat juga orang kampung yang menternak lembu dan kambing secara kecil-kecilan.

“Jadi saya fikir kenapa tidak kita wujudkan satu projek besar-besaran di dalam DUN Air Putih ini kerana kita mempunyai tempat dan tanah di kawasan luar bandar, padang ragut kita boleh buat serta boleh pasarkan mengikut sistem yang ada,” katanya kepada Bernama.

Dr Zaki juga memberitahu terdapat pelabur dari luar yang menyatakan hasrat untuk membuka sebuah kilang kernel (biji buah kelapa sawit) di Air Putih, yang sekali gus akan membuka lebih peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

“Mereka sebenarnya sudah bersedia dan merupakan pelaburan yang bernilai tinggi kerana kernel yang akan diproses nanti akan menjadi bahan api untuk loji jana kuasa di negara luar,” katanya.

Menurut Dr Zaki lagi bagi menjayakan pelbagai hasrat itu, lebih molek jika kerajaan Terengganu sehaluan dengan kerajaan Persekutuan bagi membolehkan setiap rakyat merasai impak maksimum pembangunan negeri ini.

“Satu perkara penting lain adalah kerajaan negeri harus diselarikan supaya perancangan strategik kita untuk pembangunan di setiap kawasan di negeri bertuah ini senang mendapat kerjasama kerajaan pusat,” katanya.

Pada Pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi DUN Air Putih, BN yang diwakili Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tewas dengan majoriti 746 kepada wakil PAS Razak Ibrahim yang meraih 12,985 undi.

PRN kali ini menyaksikan Dr Zaki akan menentang calon baharu dari PAS, Mohd Hafiz Adam dalam saingan satu lawan satu setelah penyandangnya tidak mempertahankan kerusi itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.