Cukup-cukuplah Berpolitik Tidak Matang, PRN Masa Orang Muda Bina Negara – Dr Akmal

KOTA DAMANSARA, 31 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan cukup-cukuplah berpolitik secara tidak matang kerana kini adalah masa untuk anak muda membina negara.

Katanya, orang muda kali ini jangan jadi bodoh dan terikut-ikut dengan permainan politik lama sedangkan masa kini adalah ruang untuk anak muda mengukir masa hadapan.

“Orang muda jangan jadi bodoh kerana hari ini masa pemimpin perlu mendengar suara orang muda. Hari ini 53 peratus pengundi adalah golongan bawah 40 tahun jadi orang muda jangan terikut-ikut dengan permainan politik lama, kita nak mengukir masa depan kita.

“Hari ini masa memerlukan tanggungjawab kita untuk ketepikan soal perbezaan dan utamakan soal kepentingan negara dan juga rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Pentas Geng Perpaduan yang berlangsung di The Strand, di sini malam tadi.

Bidas Dr Akmal, ada satu pihak menyatakan mereka yang paling Islam dan paling Melayu tetapi soalnya kenapa Sultan yang Islam dan Melayu juga dihina.

“Bercakap nak bersama-sama menyatukan orang Melayu dan menyatukan bangsa-bangsa lain tapi kenapa mereka juga yang mengkafirkan orang lain.

“Jadi orang muda jangan jadi bodoh, hari ini pilihan di tangan kita. Kita dah muak dengan permainan mereka… dulu kata orang ini tak betul, ajaran sesat tapi hari ini kata betul pulak, jadi cukuplah.

“Orang muda nakkan sebuah kerajaan yang bercakap soal polisi dan dasar. Orang muda nakkan pekerjaan, nakkan rumah, nakkan ekonomi yang bagus.”

Tegasnya, ini bukan soal parti politik tapi soal masa hadapan generasi muda.

“Cukup-cukuplah lima tahun sudah kita tak habis-habis berpolitik dan bertukar-tukar perdana menteri. Ini bukan soal individu tetapi soal masa depan dan negara.

“Ini masa kita untuk tentukan generasi kita. Kita menentukan masa depan kita jadi orang muda tolong-tolonglah, cukup-cukuplah kerana politik ini menjemukan rakyat maka kita lawan secara fakta, lihat polisi terbaik.

“Hari ini bukan soal kaum tetapi soal negara dan masa depan. Cukup-cukuplah kita berpolitik secara tidak matang… kini masa kita bina bersama negara,” katanya lagi.

Pentas Geng Perpaduan menjadi platform baharu buat pergerakan pemuda parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meyakinkan para pengundi terutama kelompok pengundi automatik 18 tahun (Undi18) bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menerusi program tersebut juga anak muda yang menjadi calon-calon Kerajaan Perpaduan turut berpeluang berucap di hadapan khalayak.

Turut dilancarkan dalam program ini ialah Geng Perpaduan yang membuktikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), terutama dua blok terbesarnya iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Geng Perpaduan tersebut akan bergerak ke seluruh negeri-negeri khususnya mendepani PRN bagi menggembleng anak muda memberikan sokongan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.