Angkat Tema Perpaduan Demi Kestabilan Dan Kemakmuran Untuk Dijiwai Rakyat – Dr Asyraf

GOMBAK, 31 Julai – Tema Pilihan Raya Negeri (PRN) Bagi Kerajaan Perpaduan yang didukung Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) ialah ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa tema tersebut dicadangkan kerana asas kepada penubuhan sesebuah negara ialah perpaduan.

GOMBAK 30 Julai–Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan semasa mengadakan perjumpaan bersama PDM Gombak utara bersama jentera
Perpaduan BN/PH hari ini.

“Tema ini telah dipersetujui di peringkat Kerajaan Perpaduan yang mencadangkan supaya asas kepada penubuhan negara adalah perpaduan iaitu bukan sahaja kita menyahut titah YDP (Yang di-Pertuan) Agong tetapi kita menjiwai dan memahami saranan daripada titah Baginda sebagai sesuatu yang cukup bermanfaat untuk rakyat dan juga negara.

“Sebab itulah kita sepakat dalam mesyuarat pimpinan Kerajaan Perpaduan supaya perpaduan itu menjadi asas kepada moto pilihan raya kali ini dan perpaduan itu adalah mengenai kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas menyampaikan ucapan kepada anggota jentera perpaduan BN/PH di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gombak Utara, Sungai Chinchin, di sini semalam.

Berkaitan dengan perjalanan kempen yang telah berlangsung selama dua hari bermula Sabtu, katanya kerjasama antara jentera BN-PH amat baik.

“Saya telah memantau sejak hari pertama dan kita telah melalui fasa pertama yang mana kita amat rasa bersyukur kerana tahap kerjasama antara BN-PH di peringkat akar umbi.

“Kita dapat lihat tidak ada isu atau masalah dan kedua-dua jentera parti dapat keluar bersama-sama menyokong sama ada calon BN atau calon PH sedangkan ini tidak berlaku di peringkat Perikatan Nasional (PN) kerana kita dapat lihat banyak tempat juga yang berlaku isu boikot-memboikot apabila ada yang tak dicalonkan.

“Ini tidak berlaku dalam konteks kerjasama jentera BN-PH dan ini adalah isyarat awal yang amat positif dan kita menyasarkan supaya semua calon kita dapat bertemu dengan seramai mungkin rakyat dengan pelbagai lapisan masyarakat agar dapat mewujudkan kemesraan dan jentera kita pula diharapkan dapat fokus supaya tidak lari daripada perjuangan,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, kecuali kaedah dan bahan kempen yang menyebarkan perasaan jahat, tidak puas hati atau menimbulkan provokasi.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos bersekali dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.