Veteran UMNO Ajak Ahli Pas ‘Berhijrah’ Dari Terus Tertipu, Undilah BN/PH

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Veteran UMNO Malaysia menyeru rakyat dan pengundi Pas di negeri Kelantan supaya ‘berhijrah’ bersempena tahun baharu 1445 Hijrah iaitu dari yang buruk kepada yang baik demi masa depan Kelantan yang makmur dan maju.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia melibatkan ‘berhijrah’ dari terus menerus menyokong Pas kepada mengundi Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).

“Berhijrah dengan menukar kerajaan Pas kepada BN/PH untuk memerintah Kelantan. Berhijrah dari zaman kemuraman kepada zaman yang lebih gemilang dan cemerlang. Berhijrah dari sebuah negeri yang mundur kepada negeri yang maju,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Dalam hal ini beliau turut menyorot berkaitan hijrah pada zaman Rasulullah SAW yang melaksanakan penghijrahan dari Mekah ke Madinah dan menyatujan Muhajirin dan Ansar.

“Itulah iktibar yang wajar diambil oleh orang Kelantan khususnya penyokong Pas. Cukuplah membiarkan diri mereka ditipu oleh pemimpin Pas selama lebih 50 tahun dengan momokan agama yang kononnya Pa itu Islam dan Islam itu Pas. Undi Pas masuk syurga, undi BN/PH itu kafir.

“Inilah masanya untuk berubah. Berubah demi masa depan Kelantan yang lebih cemerlang dan gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.