PRN Bawa Paradigma Tersendiri Kepada Muafakat Kerajaan Perpaduan – Johan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini membawa paradigma tersendiri kepada permuafakatan dalam kalangan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Katanya kerjasama yang dijalin terutama membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini amat baik dalam usaha mengekalkan penguasaan di Selangor.

“Saya sudah buat pelancaran jentera, melihat sendiri jentera PH daripada PKR, Amanah dan Dap bersama BN iaitu UMNO, MIC dan MCA hadir sepentas.

“Penerimaannya sangat baik, alhamdulillah saya sudah menghubungi sahabat baharu daripada PH dan bersetuju membentuk jawatankuasa di peringkat pusat daerah mengundi, saya lihat jalinan kerjasama ini sangat erat,” kata Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat itu lagi.

Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam pada itu meluahkan kesyukuran diberikan amanah oleh parti pada PRN ini.

Menurut Johan, kerusi berkenaan yang disandang oleh Dap sebelum ini diberikan kepada BN hasil daripada rundingan daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Kerusi ini adalah seribu rahmat kerana penyandang kerusi ini adalah Dap, mereka menyerahkan kerusi ini hasil muafakat.

“Saya percaya PH-BN akan mempertahankan Selangor dan ini satu peluang besar,” ujar beliau.

Johan yang sebelum ini berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih berkata sebagai Pengerusi BN Hulu Langat, DUN Dusun Tua tidak asing baginya kerana pelbagai perkhidmatan juga diberikan beliau kepada rakyat di kawasan ini.

“Saya memang berkhidmat untuk parti untuk Dusun Tua, orang tempatan pun tahu. Apabila banjir besar berlaku kita turun bersama-sama membantu menyelesaikan masalah walaupun kita sebagai pembangkang.

“Berkhidmat untuk parti semampu yang boleh jadi insya-Allah sekiranya diberi mandat saya akan lakukan yang terbaik,” ujar beliau. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional DUN Dusun Tua ini:
Facebook: Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
TikTok: Datuk Wira Johan Abd Aziz
Instagram: datuk_wira_johan
Twitter: Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.