Pengundi Selangor Tidak Boleh Anggap PRN Sebagai Eksperimen

SHAH ALAM, 30 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menasihati pengundi di negeri ini supaya membuat pilihan bijak memilih calon daripada parti yang sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata BN negeri bersama rakan kerjasama, Pakatan Harapan (PH) menawarkan kesinambungan pembangunan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Selangor sejajar kedudukannya sebagai gabungan parti pemerintah di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurut Megat Zulkarnain rakyat tidak boleh menjadikan PRN pada 12 Ogos ini sebagai eksperimen, sebaliknya menggunakan peluang tersebut dengan memilih calon yang mampu meneruskan kesinambungan pencapaian kerajaan negeri dan membawa pembangunan di kawasan diwakili serta Selangor secara keseluruhan.

“Pengundi di Selangor tidak boleh menjadikan PRN ini sekadar eksperimen kerana beranggapan keputusannya tidak memberikan impak kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada.

“Rakyat dan pengundi tidak boleh membenarkan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas PRN tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan kerana ia akan membantutkan segala pembangunan penting yang dirancang untuk kemajuan negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Forum Keusahawanan dan Penjanaan Ekonomi anjuran Pejabat Senator Datuk Seri Zurainah Musa bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang menghimpunkan lebih 100 usahawan wanita di Ibu Pejabat SIRIM Berhad di sini hari ini.

Megat Zulkarnain yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata beliau yakin pengundi di Selangor bijak menilai situasi politik semasa dan sedar setiap undi yang diberikan mereka amat bernilai dalam menentukan masa depan negeri yang lebih gemilang.

Dalam pada itu, beliau berkata tawaran atau manifesto lima tahun PH dan BN Selangor yang akan dilancarkan esok menjanjikan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat dan negeri serta boleh dilaksanakan.

Megat Zulkarnain berkata pembangunan dan kemakmuran dinikmati ketika ini adalah hasil perancangan baik oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang bijak mentadbir meneruskan kecemerlangan yang dilaksanakan BN sebelum ini sebelum PH mengambil alih kerajaan pada 2008.

“Dengan garapan dan gabungan pengalaman yang ada pada BN dan PH, saya yakin tawaran kita kelak pastinya akan lebih baik dan bermanfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit