Kita Perlu Bekerja Keras Untuk Capai Kemenangan – Mohamad Fatmi

KOTA BHARU, 30 Julai – Pengerusi Parti Komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengingatkan para jentera untuk mencari kemenangan dengan melipatgandakan usaha sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu turut melahirkan rasa syukur kerana para jentera telah menyelesaikan tugas mereka yang pertama iaitu mengiringi calon ke pusat penamaan.

“Marilah kita bersama-sama lahirkan rasa syukur kerana hari ini kita telah berjaya selesaikan tanggungjawab kita untuk menghantar calon ke pusat penamaan. Kita telah berjaya mengangkat calon kita.

“Kita bersyukur kerana mereka semua berjaya. Ini kejayaan pertama dan ianya jadi prasyarat untuk kita berjaya. Kita berhimpun kerana kita nak mencari kemenangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, kerjasama yang tercipta antara BN-PH pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu merupakan perancangan Allah, bukannya perancangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Nak capai kemenangan ini, setakat hanya berkata-kata tidak boleh. Kita kena cari kemenangan ini dengan bekerja. Bukan tunggu ianya datang bergolek sahaja.

“Sembilan bulan yang lalu, kita berlawan antara BN-PH. Tidak sampai setahun, hari ini kita bergabung, bekerja bersama-sama untuk membentuk kerajaan yang harmoni.

“Semua ini bukan perancangan Presiden kita. Ini kerja Allah. Kun fayakun. Hari ini kita telah bersama, takkan tidak boleh menang? Pilihan Raya Umum ke-15 kita bertanding secara solo dan kali ini kita dalam Kerajaan Perpaduan, bersama lagi 19 buah parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat untuk menoktahkan pemerintahan Pas selama 33 tahun yang nyatanya terlihat gagal.

“Cukuplah kita diperintah Pas selama 33 tahun. Banyak perkara yang mereka janji, mereka tidak tunaikan. Sudah sampainya masa untuk kita ubah.

“Saya ingin berpesan agar kita jangan jadi seperti Mat Jenin. Perlu ada pencapaian. Nak pencapaian, perlu bekerja keras kerana kemenangan tidak datang bergolek. Siapa yang berusaha sudah tentu Allah berikan ganjaran.

“Apabila pulang ke kawasan masing-masing, bekerjalah sekuatnya sehingga calon-calon kita dinobatkan sebagai wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di ketiga-tiga kerusi ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.