Ketandusan Isu Punca PN Main Sentimen 3R – Najib Isa

PORT DICKSON, 30 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa berpandangan Perikatan Nasional (PN) ketandusan isu sehingga memainkan sentimen 3R iaitu agama, kaum dan raja.

Katanya, ianya tindakan yang tidak wajar dilakukan kerana tidak melambangkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

“Perkara ini tidak perlu dimainkan, mereka yang memainkan isu ini sebenarnya ketandusan idea atau tidak tahu apa yang hendak dibuat untuk kepentingan masyarakat.

“Tiada bawa kebaikan kepada masyarakat, saya harap pengundi teliti dan berfikir dalam masa dua minggu ini untuk tolak sesiapa sahaja yang bawa isu 3R,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson berkata ini berbeza dengan pendekatan yang dilakukan dalam parti-parti mendukung Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian rakyat.

“Dalam negara kita dengan kompososi kaumnya dari segi politik Kerajaan Perpaduan yang betul-betul merupakan refleksi kepelbagaian kaum.

“Saya tak nampak parti lain apatahlagi Perikatan Nasional, mereka tidak cover Sabah dan Sarawak yang ada hanyalah Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Najib yang merupakan antara calon baharu yang dipertandingkan pada PRN ini turut optimis sokongan golongan muda untuk terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk meneruskan legasi pembangunan di Bagan Pinang.

Katanya ini kerana golongan ini sudah matang dalam membuat penilaian berdasarkan rekod cemerlang BN terutama dalam mentadbir negara suatu ketika dahulu.

“Penerimaan anak muda terhadap BN masih baik sebab apa pun orang nak kata atau isu yang dibangkitkan pada pilihan raya, akhirnya masyarakat terutama orang muda akan fikir apa yang BN pernah buat.

“Menerusi kajian yang kita buat mereka masih ingat apa yang berlaku ketika pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah memberikan bantuan, kebajikan, program anak muda dan belia… mereka masih ingat sampai sekarang.

“Politik suatu perkara yang mereka ambil perhatian namun paling penting hasil yang keluar daripada politik iaitu dari segi kebajikan, kepentingan kepada mereka,” katanya.

Untuk rekod, DUN Bagan Pinang ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Mohd Najib dengan calon Perikatan Nasional, Abdul Fatah Zakaria. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.