Isu Penggantungan Shahelmey Diselesai Secara Dalaman – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 30 Julai – Segala isu yang timbul akibat penggantungan Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya daripada UMNO selama enam tahun, akan diselesaikan secara dalaman, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata UMNO pada masa ini berpendirian bahawa, Shahelmey merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Kita mempunyai semangat dalam Kerajaan Perpaduan, maka tindakan itu kita lakukan secara dalaman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0 di sini hari ini.

Ditanya tentang kenyataan Shahelmey bahawa beliau masih belum menerima surat penggantungan itu, Ahmad Zahid berkata “kita buat secara dalaman.”

Pada 18 Mac lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengesahkan Shahelmey digantung keahlian parti selama enam tahun, namun pada 26 Julai lalu Shahelmey memberitahu beliau masih belum menerima surat penggantungan tersebut.

Pada 7 Jan lalu, Bung Moktar mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, namun Shahelmey bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu, kekal menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.