Beritahu Rakyat Jangan Terpengaruh Kempen ‘Jualan’ Syurga Neraka Semasa Berkempen – Asyraf Wajdi

KOTA BHARU, 30 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan para jentera agar memberitahu rakyat supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti ‘jualan’ syurga dan neraka sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu turut percaya bahawa sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menang di Kota Bharu maka Kerajaan Perpaduan Negeri Kelantan akan terbentuk.

“Kita yang berada di hadapan ini semuanya adalah jentera parti untuk BN dan PH. Kota Bharu merupakan satu Parlimen yang cukup cantik dan indah.

“Unik di Kelantan ini ada wakil UMNO, PKR dan Pan (Parti Amanah Negara). Kota Bharu akan menjadi saksi. Bermula di sinilah insya-Allah sekiranya ditakdirkan tuhan, tidak ada sesiapa boleh ingkar.

“Kita kalau menang dan tubuh kerajaan, itu isyarat daripada Kota Bharu. Kalau di Kota Bharu ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ini menang, saya percaya kita akan menubuhkan Kerajaan Perpaduan Negeri Kelantan. Insya-Allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan Dewan DUN Parlimen Kota Bharu.

Menurutnya, ahli-ahli dan jentera parti mestilah bekerja kuat untuk memperoleh kemenangan di negeri Serambi Mekah ini.

“Cuma yang paling mustahak, kita kena kerja kuat bermula daripada saat ini. Beritahu kepada rakyat di Kelantan jangan mudah terpengaruh dalam tempoh berkempen ini dengan slogan, kempen yang selalunya ‘menjual’ syurga dan neraka.

“Kita kena beritahu rakyat untuk memilih Kerajaan Negeri Kelantan yang sama dengan kerajaan pusat. Tidak ada kesan pun. Apa jua yang berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak akan merubah kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan sekarang ini ada 147 ahli parlimen yang mendukung (selepas pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub). Dah stabil dah. Apa yang paling penting kita nak kekalkan Kerajaan Perpaduan dan kita nak ubah Negeri Kelantan ini supaya seiring dengan peringkat persekutuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau optimis untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri tersebut pada hari pengundian iaitu 12 Ogos kelak.

“Apa yang paling utama, itu bukan soal nak tukar akidah kita. Pemilihan antara BN-PH ataupun Perikatan Nasional (PN/Pas) bukan soal nak pilih syurga atau neraka, bukan soal pilih siapa nak masuk Islam ataupun sesiapa nak jadi kafir.

“Perlu juga diingatkan kepada para pengundi bahawa situasi yang berlaku hari ini tidak pernah tergambar dalam pemikiran kita dan ditentukan oleh Allah bahawa jangan bergaduh sesama sendiri untuk membentuk kerajaan stabil.

“Insya-Allah pada 12 Ogos ini kita akan bentuk Kerajaan Negeri Kelantan yang stabil dan selari dengan kerajaan pusat,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit