Ahmad Jazlan Seru Jentera Kerja Keras, Menangi Hati Rakyat Kelantan

KOTA BHARU, 30 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyeru para jentera untuk bekerja keras bagi memenangi hati rakyat di Kelantan.

Jelasnya, kesemua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dibariskan secara rasminya telah diisytiharkan sebagai calon pada pagi semalam.

“Melaporkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, alhamdulilah saya telah berhubung dengan semua kawasan parlimen untuk memastikan status penamaan calon pagi tadi. Semua calon selamat diisytiharkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Tujuh kali pilihan raya sebelum wujud Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat, kita tidak pernah menang. UMNO/BN Kelantan sentiasa rasa kuat setiap kali musim itu tiba tetapi tidak pernah menang. Begitu juga rakan kita (Pakatan Harapan).

“Hari ini kita duduk sekali. Inilah masa dan ketikanya apabila kita gemblengkan segala kekuatan kita. Apa yang kita dapat rasakan, inilah yang rakyat mahu lihat.

“Kita harap ianya diterjemahkan pada 12 Ogos kelak. Kita sandarkan harapan Insya-Allah, kita nak lihat dengan berkat kerjasama ini, kerajaan Perpaduan di Kelantan dapat kita Bentuk,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan DUN Parlimen Kota Bharu, semalam.

Beliau turut menyeru agar semua jentera bekerja seikhlasnya bersama PH dalam usaha memenangkan calon-calon di negeri ini.

“Di Kelantan seolah-olah ada satu fenomena berlaku. Tetapi apa yang jelas, sembilan bulan lalu kita berperang tetapi sekarang ini kita berpelukan untuk bekerjasama memenangkan calon-calon kita.

“Bersabarlah walaupun banyak perkara dan kekurangan terpaksa kita lalui. Kita ada banyak kelebihan namun ianya tidak akan membawa apa-apa makna jika tiada keikhlasan. Ikhlaskanlah diri kita,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Jazlan, hati pengundi perlulah dibelai sebaiknya untuk memperoleh kejayaan.

“Pilihan raya lepas kita tengok di Kelantan ini banyak bendera biru sahaja. Tetapi tak menang juga. Pada kali ini kita biar Pas rasa seronok bendera mereka banyak.

“Apa yang penting, bersama-samalah kita bergerak rumah ke rumah, beli dan belai jiwa pengundi. Insya-Allah kita akan beroleh kejayaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.